Tuesday 24 November 2015

WANTED: My Runaway Bride Prolog


PROLOG

"AKU terima nikahnya Raisya Qistina binti Mohammad Kamil dengan mas kahwin RM 300 tunai."

Encik Kamil yang bertindak sebagai wali nikah berpaling ke arah dua orang saksi yang duduk bersebelahan dengan si pengantin lelaki. "Sah?" soalnya kepada kedua orang saksi tersebut.

"Sah."

"Sah."

Kedua-dua orang saksi berkata sambil mengangguk perlahan. Para hadirin yang turut mengikuti majlis akad nikah tersebut tersenyum gembira kerana sebuah masjid telah pun terbina dengan sempurna.

Dengan sekali lafaz, termeterainya ikatan suci bagi dua insan. Ikatan yang menghalalkan segala fitrah buat suami isteri dan menjadi asas institut kekeluargaan agar dapat melahirkan generasi yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunah.

"Alhamdulillah." Imam Razali yang dijemput khas untuk menghadiri majlis perkahwinan tersebut kemudian membaca doa agar pasangan mempelai dapat melayari bahtera perkahwinan mereka dengan berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah. Selesai doa dibaca, para hadirin mengaminkan beramai-ramai.

"Jemput pengantin lelaki untuk naik ke atas bagi upacara membatalkan air sembahyang."

Dia yang berbusana melayu lengkap berwarna putih bangun bersama-sama dengan ayah dan ayah mertuanya untuk pergi ke bilik di mana isterinya sedang menunggu untuk disarungkan cincin. Pintu dibuka, memperlihatkan si pengantin perempuan yang berbusana indah berwarna sedondon dengannya duduk di birai katil yang indah.

"Assalamualaikum..." Salam diberikan kepada wanita yang kini sah bergelar isterinya.

Isterinya mendongakkan wajahnya sedikit. Wajah ayunya sedikit cacat dek lelehan air mata yang jatuh sedikit ke pipi. Mata isterinya yang merah ditatap dengan sayu. Dia berpendapat yang isterinya itu berasa terharu di atas perkahwinan mereka.

Dia duduk di sisi isterinya, mendekatkan jari-jemarinya untuk menyeka air mata isterinya yang masih bersisa. Pada mulanya, perbuatannya itu mengejutkan isterinya. Yalah, mereka hanya berjumpa beberapa kali sebelum bersetuju untuk diijab kabulkan. Sepanjang pertemuan mereka, tidak pernah sekalipun tangan mereka bersentuhan.

Namun, sinar mata isterinya mula menjadi lembut sebaik sahaja menyedari niatnya. Dia kemudian meneruskan upacara membatalkan sembahyang dengan menyarungkan cincin emas bermata satu ke jari manis isterinya. Isterinya membalas dengan mencium tangan kanannya. Dia dapat merasakan betapa sejuk dan terketar-ketarnya tangan isterinya. Dia kemudian mengucup lembut dahi isterinya.


"Abang janji akan sentiasa membahagiakan Raisya." Bisiknya, cuba untuk menenangkan jiwa isterinya. Ya, dia sudah nekad untuk melakukan apa sahaja bagi membahagiakan wanita yang bernama Raisya Qistina binti Muhamad Kamil. Semoga mereka dapat bersama-sama melayari bahtera perkahwinan mereka dengan penuh keberkatan dan kebahagiaan yang melimpah-ruah.

***   ***   *** 

Nota Feena: 
Salam, 
Memperkenalkan buah tangan terbaru Feena. Itulah sementara menunggu jawapan penerbit tentang FYI, DTS!, Feena dapat idea untuk hasilkan karya terbaru, WANTED: My Runaway Bride. Prolog ni pendek saja, kan? Tapi jangan risau sebab Feena akan upload sekali bab 1 lepas ni. Baca dan komen, pembaca kesayanganku ^^


No comments:

Post a Comment