Sunday 2 November 2014

FYI, Dia Tunang Saya! Special 2: Dia Yang Bernama Ana...

Nota kecil: Akhirnya sempat juga habiskan cerita pendek ini. Maaflah kepada yang menunggu. Apa-apa pun enjoy!! ^_^

FYI, Dia Tunang Saya! Special 2: Dia Yang Bernama Ana...

ACH... ACCH..! ACCHOOO!!!

Amirul Syakir terbaring lemah di hadapan sofa ruang tamu rumah agam keluarganya dalam keadaan hidung dan mulutnya ditutupi dengan penutup mulut. Hidungnya berkerut-kerut apabila zarah-zarah habuk berterbangan di sekitar kawasan ruang tamu itu. Sekali lagi dia bersin berulang-kali. 

'Tak boleh jadi ni!!!' Bentak hatinya lalu bangun dan berpaling ke arah kawasan stor di bawah tangga di mana beberapa orang manusia sedang sibuk menyelongkar keluar barang dari stor tersebut.

"Achoo!!" Belum sempat dia berkata apa-apa sekali lagi dia bersin sekuat-kuatnya.

"Ishh!!" Ain Fazira bangun dengan perasaan geram. "Kan saya dah cakap yang saya balik nak kemas barang-barang kak Sya!! Dah tahu alah, yang awak tu sibuk nak ikut kenapa?" Balasnya, geram. Pasangan bertunang itu sekali lagi berlawan renungan.

"Adoi, dah start sesi gaduh diaorang ni. Kak Faz ngan Abang Kier ni tak letih ke asyik gaduh je." Rungut Amira Nazira yang sedang mengelap barangan kaca. 

"Alah, biarkan je. Kejap lagi baiklah tu." Bisik Amirul Syafiq dengan wajah yang tidak kisah lalu mengeluarkan lagi sebuah kotak daripada stor di tepi tangga itu.

"Dahlah tomboi, katik pula tu." Ejek Amirul Syakir.

"Apa dia, singa berjambang?" Ain Fazira menjulingkan matanya. 

"Ek ehem!!"

Suara deheman itu membuatkan mereka berempat kembali ke posisi masing-masing. Datin Melisa muncul sambil bercekak pinggang. 

"Dah, Kier cepat makan ubat alahan ni." Ujar Datin Melisa, menunjukkan ubat yang diletakkan di meja makan. Ish mummy tak tahulah macam mana keadaan kamu bila kamu berdua dah kahwin nanti."

"Hem!" 
"Hem!"
Ain Fazira dan Amirul Syakir masing-masing berpaling ke arah berlawanan. 

"Mummy, semua barang kat stor ni mummy nak buang ke?"

"Barang-barang yang elok, mummy nak sedekahkan pada rumah kebajikan, barang yang boleh kitar semula letakkan dalam kotak ni, nanti mummy suruh pak San hantar kat pusat kitar semula. Yang dah betul-betul rosak dan tak boleh dipakai baru kita buang."

"Eh, ni kan..." Ain Fazira berhenti mengemas. Dia memandang Amirul Syafiq yang sedang memegang sebuah album yang kulitnya dihiasi dengan bungaan kering yang sudah luntur warnanya.

"Kenapa?" Soal Amirul Syakir dengan wajah yang lemah.

"Ni album kak Sya ke?" Soal Ain Fazira yang mengundang perhatian semua yang berada di situ.

"Macam mana akak tahu?" Soal Amira Nazira pula, ingin tahu.

"Bunga lavender kan bunga kesukaan kak Sya." Jawab Ain Fazira dengan senyuman yang kelat. Dia menunjukkan bunga lavender kering yang ditampal pada kulit album tersebut.

Amirul Syafiq segera membuka album tersebut. Mereka melihat gambar yang diambil oleh arwah Ana Syakila yang rata-ratanya berlatar belakangkan kehidupan sehariannya. Terdapat gambar rakan-rakan di tempat kerja, ahli keluarganya dan juga anak-anak di rumah anak yatim Rantaian Qaseh dalam keadaan melucukan. Namun tidak ada pula gambar arwah, mungkin kerana arwah yang mengambil semua gambar tersebut. Ain Fazira tertarik pada satu gambar.

"Eh ni kan.."

"Haha, gambar siapa pula ni?" Amira Nazira tergelak besar. Namun kemudian dia mendapati sesuatu yang aneh pada gambar tersebut. "Nanti dulu...ni bukan gambar abang Kier dengan kak Faz ke? Kenapa abang dengan akak....!"


***


11 tahun yang lalu...
Latar tempat: Rumah Anak Yatim Rantaian Qaseh

Amirul Syakir berdiri di hadapan pintu pagar rumah anak yatim Rantaian Qaseh. Kedua belah tangannya sedang memegang sebuah kotak coklat yang berisi buku-buku terpakai. Dia memandang pintu pagar tersebut dengan wajah yang malas.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia segera menurunkan kotak tersebut ke bawah sebelum mengangkat panggilan daripada telefon bimbit Nokianya.

"Assalamualaikum, ah, Kier dah sampai dah kat Rantaian Qaseh." Jawabnya dengan nada yang malas.

"Ya, Kier dah bawa buku-buku tu. Akak ni tak ada orang lain ke nak suruh hantarkan barang? Kier ingat kalau Kier balik rumah Kier dapat rehat. Kalau macam ni baik duduk asrama je." Rungutnya dengan bibir yang muncung seolah-olah kakaknya berada di hadapannya.

"Yelah, yelah, kalau tolong orang dapat pahala. Okeylah, Kier nak jumpa Ummi ni. Akak jangan datang lambat sangat tau." Ujar Amirul Syakir sebelum menamatkan panggilan tersebut. Dia kemudian berjumpa dengan pengawal keselamatan rumah anak yatim tersebut meminta kebenaran memasuki rumah anak yatim tersebut. Pengawal keselamtan itu dengan senang hatinya membawanya berjumpa dengan Ummi, pengelola rumah anak yatim tersebut.

"Syakir, Ya Allah, dah besar panjang kamu ya!" Ujar Ummi sebaik sahaja mereka berjumpa. Ummi merupakan kenalan rapat ibunya jadi ahli keluarga mereka sememangnya rapat sejak dari kecil lagi. Ummi mempersilakannya duduk.

"Kamu baru balik daripada MRSM ya?"

"A'ah. Sekarang ni tengah cuti akhir tahun, Ummi," Balas Amirul Syakir dengan sopan.

"Betullah, kalau ikutkan waktu-waktu macam ni 'anak-anak' Ummi berada di sekolah sekarang tapi sebab cuti, seronoklah mereka bermain saja setiap hari." Ujar Ummi yang menganggap anak-anak yang berada di bawah jagaannya seperti anak sendiri. "Kakak kamu ada beritahu yang kamu datang bawa buku-buku terpakai ya."

"Ya. Akak yang kumpulkan semua. Saya tolong hantar je."

"Walaupun kamu sekadar menghantar barang tapi setiap langkah kamu yang ambil ke sini tetap dapat pahala, betul tak?"

'Tapi aku naik kereta. Tak boleh kira langkah. Kalau ikut logik kena kira pakai kilometerlah.' Seloroh Amirul Syakir di dalam hati.

"Kalau macam tu, Ummi nak minta Syakir hantar buku-buku ni ke perpustakaan boleh?" Pinta Ummi. Amirul Syakir mengangguk perlahan. "Syakir jalan je terus, lepas tu belok kanan. Perpustakaan terletak kat bahagian hujung dekat dengan taman bunga. Dekat sana ada pustakawan yang bertugas. Jadi Syakir bagi je kat dia ya? "

Amirul Syakir pergi ke perpustakaan rumah Rantaian Qaseh berpandukan dengan arah yang diberikan oleh Ummi. Tepat seperti yang dikatakan oleh Ummi, terdapat bilik yang berpintu kaca dengan papan tanda bertulis perpustakaan di tepi sebuah taman bunga. Kelihatan beberapa orang budak-budak yang sedang bermain di taman permainan berdekatan dengan taman bunga itu.

Dia menghadapi kesukaran untuk membuka pintu perpustakaan itu kerana kedua belah tangannya sedang memegang kotak. Dia membuat keputusan untuk menurunkan kotak tersebut agar dia dapat membuka pintu tersebut. Sebaik sahaja kotak itu diturunkan, kedengaran satu pertanyaan yang berbaur amarah.

"AWAK BUAT APA TU?!!"

Amirul Syakir terkejut lalu memandang ke hadapan pintu perpustakaan yang telah dibuka. Kelihatan seorang remaja perempuan yang kelihatan lebih mudah setahun atau dua tahun daripadanya. Remaja yang bertudung bawal dan memakai baju kurung kurung tetapi berseluar sukan itu memandangnya dengan tajam.

"Saya cakap, apa yang awak tengah buat sekarang ni?!" Bentak remaja perempuan itu seperti seekor singa yang kelaparan.


***

Tumpuan Ain Fazira terganggu dek bunyi gelak tawa teman-temannya. Dia meletakkan buku yang dibaca olehnya ke meja lalu berpaling ke arah tingkap yang memaparkan kelincahan mereka yang sedang bermain bola sepak di padang berdekatan dengan bangunan yang menempatkan perpustakaan itu. Tercetus rasa cemburu di hatinya yang duduk berseorangan di perpustakaan tersebut. Namun apakan daya, kesihatan dirinya menghalang dia daripada melakukan aktiviti yang memenatkan. Lalu buku-buku di perpustakaan Rantaian Qaseh itu menjadi penglibur lara yang membawanya ke dunia yang dia tidak mampu jejaki.

Dia menutup buku, hilang keinginannya untuk mengetahui penamat kisah Zainnudin dan Haryati yang terpisah dek kerana adat dan keturunan yang berbeza. Dia membaringkan kepalanya ke meja. Hatinya terasa seperti kehilangan. Selalunya waktu-waktu sebegini, Ana Syakila akan muncul mengusiknya dengan tersengih seperti kerang busuk. Dalam diam-diam, dia merindui bagaimana wanita muda itu melayannya sama seperti anak-anak yang lain, tanpa perasaan prejudis mahupun simpati. Ana Syakila hanya melayannya sebagai dia, Ain Fazira.

Hari ini kemungkinan wanita muda itu tidak datang atas urusan lain. Tentu sahaja wanita muda mempunyai pelbagai urusan kehidupan yang lebih penting daripada bertemu dengannya. Siapalah dirinya, hanya anak yatim yang hidup terumbang-ambing untuk meneruskan hidup.

"Ishh, apa yang kau cakap ni, Ain!" Ain Fazira mengelengkan kepalanya, laju. Menghalang dirinya daripada hanyut daripada dibuai perasaan. Dia harus kuat dan tabah untuk menghadapi kehidupan ini bersendirian. Demi ibunya. Demi ibunya.

Bunyi bising yang kedengaran di hadapan pintu perpustakaan itu. Seraya dia bangun lalu menuju ke arah pintu yang dibiarkan terbuka. Kelihatan seorang remaja lelaki yang tinggi dan berkulit hitam manis berdiri dalam keadaan termengah-mengah sambil memegang sebuah kotak. Remaja lelaki itu kemudian menurunkan kotak ke lantai. Hampir mahu gugur jantung Ain Fazira apabila melihat kotak yang tidak bertutup itu mengandungi buku yang berkaitan dengan ilmu agama.

"AWAK BUAT APA TU?!!" Bentak Ain Fazira setelah membuka pintu perpustakaan itu. Sesuka hati sahaja remaja lelaki itu meletakkan buku-buku yang mungkin mengandungi ayat Al-Quran di atas lantai!

Amirul Syakir kelihatan terkejut dan tidak tahu apa-apa. Ain Fazira mengetap bibirnya menahan geram.

"Saya cakap, apa yang awak tengah buat sekarang ni?!" Bentak Ain Fazira seperti seekor singa yang kelaparan. "Awak tak nampak ke buku-buku tu semuanya buku agama!"

"Ah ye ke? Alamak, sorry, sorry." Ujar Amirul Syakir sambil terkocoh-kocoh mengangkat kotak itu semula.

Ain Fazira menarik muka masam. "Awak ni siapa?" Soalnya dengan nada menyampah sehingga berkerut Amirul Syakir memandangnya.

"Amboi, amboi, sedapnya bahasa!" Balas Amirul Syakir dengan hati yang panas.

"Saya tak perlu berbudi bahasa dengan orang yang tak tahu nak menghargai buku!" Balas Ain Fazira pula dengan nada bersahaja.

"Eh, eh, budak kenit ni. Pandai betul menjawab cakap orang. Saya tak sengajalah." Ujar Amirul Syakir lagi yang sengaja mengejek ketinggian Ain Fazira yang hanya pada paras bahunya.

"Apa dia?! Berani awak panggil saya kenit!" Bentak Ain Fazira.

"Habis tu nak panggil awak apa, kerdil? Katik?" Ejek Amirul Syakir lagi

Ain Fazira kemudian mengambil bulu ayam yang penuh dengan habuk lalu disuakan ke muka remaja lelaki itu. Habis wajah Amirul Syakir penuh dengan habuk. Tidak lama kemudian remaja itu terbesin-besin kerana alergi habuk.

"Eh, apa semua ni?" Ummi yang muncul di hadapan perpustakaan itu terkejut melihat 'kekecohan yang berlaku.

***

"Ummmi!!"

Terkejut Ummi apabila sepasang tangan melingkar ke pinggangnya. Harumana lavender bercampur bunga mawar menusuk ke hidungnya.

"Eh, Sya ni. Buat terkejut ummi saja." Ummi berpaling ke arah Ana Syakila yang tersenyum manja. Syida turut tertawa melihat perlakuan ibunya.

"Bila sampai?" Soal Ummi sambil tangganya dicium oleh kedua-dua orang gadis itu.

"Baru je tadi, ummi. Nasib baiklah Sya ada. Kalau tak, tak tahulah macam mana Syida nak mengadap 'orang' tu," ujar Syida sambil mengeluh perlahan.

"Ish, Syida ni tak baik tau buat Rafiq macam tu. Dia tu ikhlas nak berkenalan dengan Syida. Kalau tak, takkanlah dia siap minta izin dengan ummi pula." Balas Ummi pula.

"Syida tahu Rafiq tu ikhlas tapi dia tu 'boring'lah ummi. Nak berbual pun tak pandai." Ujar Syida dengan riak wajah kepenatan.

"Biarkan Syida ni ummi. Nanti bila Rafiq dah tak sukakan dia, baru dia tahu langit tinggi ke rendah. Memilih sangat." Ujar Ana Syakila pula sambil mencubit pipi Syida.

"Amboi, amboi, sedapnya cakap." Syida turut membalas perlakuan rakan baiknya dengan menarik-narik kedua pipi Ana Syakila yang gebu. "Tahulah yang dia tu dah dapat tunang kacak, bijak, berbudi bahasa pula tu. Tak payahlah nak perli orang lain pula." Mereka bergurau manja sambil diperhatikan oleh Ummi dengan hati yang senang

"Ummi, Kier ada datang kan tadi? Dia dah balik ke?" Soal Ana Syakila setelah puas menyakat rakan baiknya.

"Syakir? Dia ada lagi dekat perpustakaan tu." Ujar Ummi kemudian menutup mulut menahan tawa.

"Kenapa ummi?" Soal Ana Syakila dan Syida, serentak.

"Tak ada, ni pertama kali ummi tengok si Ain tu bertikam lidah."

"Gaduh? Faz bergaduh dengan siapa pula ummi?" Soal Syida, dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak.

"Dengan si Syakirlah. Siapa lagi." Jawab Ummi, tersenyum lebar.

"Dengan Syakir?" Ujar Ana Syakila dan Syida, serentak lagi.

"Betul. Nasib baiklah ummi pergi tengok mereka kat perpustakaan tu tadi. Kalau tak, agaknya dah 'masak'lah si Syakir tu. Faz siap suakan bulu ayam kat muka Syakir sampai hitam muka Syakir, tahu tak?"

"Wah, kalau macam tu kita kena pergi tengok ni. Manalah tahu kalau ada lagi peristiwa menarik yang berlaku." Ujar Ana Syakila sebelum melunjur laju ke perpustakaan sambil diekori oleh Syida.

***

Ana Syakila dan Syida terhenti di hadapan pintu  perpustakaan. Daripada kaca pintu itu mereka dapat melihat sepasang susuk tubuh yang tertidur kepenatan di sebuah meja perpustakaan di tepi tingkap. Cahaya matahari pagi yang lembut menyinari tubuh Amirul Syakir dan Ain Fazira yang berwajah tenang.

"Mesti mereka penat lepas mengemas perpustakaan ni." Bisik Syida kepada Ana Syakila. Namun Ana Syakila hanya mendiamkan diri. Syida berpaling ke arah rakan baiknya yang kelihatan terpegun melihat keadaan itu.

"Kenapa?" Soal Syida. Ana Syakila sekadar mengelengkan kepalanya sambil menguntumkan senyuman misteri. Kemudian sinar matanya berubah. Dia mendekati Amirul Syakir dan Ain Fazira dengan wajah yang nakal.

"Ishh, kau buat apa tu, Sya?"

"Shh, senyaplah sikit. Ni je peluang yang aku ada." Ujar Ana Syakila dengan senyuman penuh makna. Tangannya bersedia dengan marker hitam di tangan.

"Masterpiece..."


***

"Oh, jadi arwah Kak Syalah yang conteng muka kita hari tu. Mati-mati Kier ingatkan Faz yang conteng." Ujar Amirul Syakir sambil meneliti gambarnya bersama dengan Ain Fazira yang sedang tidur di meja perpustakaan Rantaian Qaseh dengan muka yang penuh dengan contengan. Ana Syakila berdiri di hadapan mereka sambil membuat bentuk 'V' dengan kedua-dua tangannya.

"Itulah, kan saya dah cakap banyak kali bukan saya yang buat." Ujar Ain Fazira.

"Eleh awak pun tuduh saya juga kan." Tempelak Amirul Syakir. Sekali lagi mereka berlawan renungan dengan wajah yang garang.

"Hai, akak Faz dengan abang Kier ni memang dari dulu sampai sekarang asyik suka bergaduh." Keluh Amira Nazira. "Tapi orang ada cakap kalau benci lama-lama jadi suka." Kata-kata yang diujarkan oleh gadis itu mendapat tentangan hebat daripada pasangan yang bakal bertunang itu.

"Dengan dia ni, jangan haraplah." Ujar Amirul Syakir dengan bersungguh-sungguh.

"Dengan dia ni, jangan nak beranganlah." Ujar Ain Fazira pula sambil mencebikkan bibirnya.

"Sudah! Kamu berdua ikut mummy. Banyak lagi persiapan pertunangan yang kita tak beli lagi." Ujar Datin Melisa sambil memiat telinga anak lelakinya. Amirul Syakir dan Ain Fazira mengekori Datin Melisa dengan riak wajah tidak rela.

"Kenapa Fiq diam je dari tadi?" Soal Amira Nazira kepada adik kembarnya.

"Cuba baca ni." Amirul Syafiq menunjukkan bahagian belakang gambar itu. Terdapat tulisan kecil dengan tarikh sebelas tahun yang lalu. Tulisan itu serupa dengan tulisan arwah Ana Syakila.

"Takkanlah, arwah kak Sya buat keputusan nak jodohkan mereka, waktu ni?" Telah Amira Nazira.

"Wallahualam, itu cuma arwah Kak Sya dan Tuhan sahaja yang tahu." Balas Amirul Syafiq sebelum meneruskan kembali pekerjaannya. Gambar itu dimasukkan kembali ke dalam album gambar lalu dimasukkan ke dalam almari.

Even if two person walk separate path, they are bound to meet at crossroad
-A.S.-

9/12/04
***

Syida duduk di kerusi bagi menghilangkan penat. Perutnya yang semakin memboyot diusap lembut. 

"Ish, nakal betul anak ibu yang seorang ni." Bisik hati kecilnya. Namun, dia berasa bahagia kerana dalam masa sebulan lagi, dia bakal melahir anak keduanya. Dia sentiasa berdoa agar putera sulungnya itu mewarisi wajah kacak suaminya.

Dia teringat kembali berita pertunangan Ain Fazira dan Amirul Syakir yang didengari minggu lepas. Apa yang lebih mengejutkan, Ain Fazira dan Amirul Syakir bersetuju untuk bertunang. Dia dengar daripada tuan punya badan sendiri yang pertunangan akan berlangsung dalam jangka masa sebulan. Dia melihat gambarnya dengan arwah Ana Syakila di tepi meja. 

"Sukalah kau sebab hajat kau dah termakbul, kan?" Ujarnya kepada gambar itu. Fikirannya menerawang jauh ke peristiwa sebelas tahun lepas ketika Ain Fazira dan Amirul Syakir diconteng muka oleh arwah Ana Syakila.


"Kau ni memang suka menyakat orang, kan?" Ujar Syida apabila melihat Ana Syakila ketawa terkekeh melihat gambar Ai Fazira dan Amirul Syakir yang sedang tidur kepenatan di atas meja dengan wajah mereka diconteng oleh Ana Syakila. Gambar yang sudah siap dicuci itu bakal diletakkan di dalam album ungu milik rakan baiknya itu.

"Memang berdua ni memang comel sangat. Kadang-kadang aku tengok mereka ni sepadanlah."

"Apa dia? Kau nak jodohkan mereka ke?"

"Kalau betul pun, apa salahnya. Kau tahu kan yang aku memang nak jadikan Faz adik angkat tapi papa yang tak bagi. Kalau tak dapat jadi adik angkat aku, jadi adik ipar aku pun okey juga. Lebih-lebih lagi dengan Kier. Aku dapat rasakan yang mereka akan saling melengkapi kerana walaupun perangai mereka berbeza, mereka juga ada banyak persamaan."

"Ish, jauh betul kau fikir ni. Takut aku tengok bila kau serius macam ni." Ujar Syida sambil mengerutkan keningnya. "Aku tengok kau ambil berat sangat pasal Faz, kenapa agaknya? Kau layan lebih daripada kau layan budak-budak dekat Rantaian Qaseh."

Ana Syakila terdiam sebelum tersenyum kelat. "Sebab aku terhutang budi..."


"Sayang..." 

Fikiran Syida kembali ke dunia nyata. "Oh, abang. Ingatkan siapa tadi." Ujarnya seraya dia bangun untuk menyambut kepulangan suaminya yang memakai uniform putih.

"Sayang fikir apa tu sampai mengelamun jauh. Fikirkan ex-boyfriend ke?" Soal suaminya.

"Ish, abang ni, ke situ pula."

"Manalah tahu. Dr. Syida kita ni kan cantik, bijak pula tu, mestilah ramai peminat, kan?"

"Ya  tak ya juga, kan. Tapi dalam ramai-ramai tu, entah macam mana boleh tersangkut pula dengan Kapten Rafiq ni?" Ujar Syida sambil memeluk tubuh suaminya yang sasa. Dahinya ditemukan ke dahi suaminya. Mereka tersenyum bahagia sebelum melangkah ke bilik tidur.

***


2 comments: