Wednesday 16 September 2015

FYI, Dia Tunang Saya! 14

BAB 14
"APA semua ni? Sandiwara apa yang papa cuba mainkan ni?" soal Syakir di hadapan seluruh ahli keluarganya. Dia berusaha untuk menahan amarahnya agar tidak kedengaran biadap.
            Sebaik sahaja majlis hari jadi itu berakhir, Dato' Farid telah menyuruh semua ahli keluarganya berkumpul di rumah agam keluarga mereka untuk menjelaskan tentang keputusannya. Lelaki berusia pertengahan umur itu tenang sahaja menghadapi kemarahan Syakir. Syafiq dan Nazira diarahkan oleh Datin Melisa untuk masuk ke dalam bilik tetapi dalam diam-diam mereka mencuri-curi dengar dari balkoni atas. Fikri sekadar tersenyum sinis memikirkan keputusan ayahnya yang tidak masuk akal manakala Shirin sekadar menjadi pemerhati.
            "Dah puas dah?" soal Dato' Farid. "Atau ada lagi yang Kier rasa tak puas hati?" Persoalan lelaki pertengahan umur itu dibiarkan tidak berjawab.
            "Faz, kenapa senyap saja? Faz tak rasa pelik dengan keputusan papa?" soal Dato' Farid kepada Fazira yang membisu sedari tadi. Semua mata memandang wanita muda itu, ingin mengetahui jawapan wanita itu.
            Fazira menarik nafas panjang. "Faz cuma akan tanya satu soalan sahaja, kenapa? Apa sebab papa nak kami bertunang sampai papa sanggup menipu Faz dengan Abang Kier untuk balik ke rumah?" soalnya dengan nada yang tenang. Walaupun pada mulanya dia juga ingin menghamburkan rasa tidak puas hatinya seperti Syakir tetapi dia memilih untuk berfikir secara rasional.
            "Hah, itulah soalan yang papa nak dengar!" ujar Dato' Farid dengan wajah yang  ceria. "Kalau Kier tanya soalan tu dari tadi kan senang? Tak payahlah papa nak dengar segala bebelan Kier," ujarnya lagi yang mengundang rasa geram di hati Syakir. Ayahnya itu sering sahaja membandingkan dirinya yang cepat marah dengan Fazira yang sentiasa tenang dan rasional.

            Dato' Farid memandang ke arah Datin Melisa. Datin Melisa menggangguk perlahan lalu membuka sebuah kotak kayu sepanjang dua tapak tangan yang sedari tadi dipegangnya.  Sepucuk surat yang sudah kuning warnanya dikeluarkan lalu diberikan kepada Dato' Farid.
            "Surat?" Syakir mengerutkan keningnya. Dia menghulurkan tangannya untuk mengambil surat itu. Namun Dato' Farid memberikan surat itu kepada Fazira.
            "Kenapa papa bagi dekat Faz? Patutnya bagi di Kierlah!" rengek Syakir seperti anak kecil. Tanpa mempedulikan lelaki itu Fazira membaca isi kandungan surat tersebut. Wajahnya berubah serta-merta membuatkan semua orang tertanya-tanya akan isi kandungan surat itu.
            "Papa, betul ke apa yang tertulis di dalam wasiat ni?" soal wanita itu dengan nada suara tidak percaya.
            "Wasiat? Wasiat siapa?" soal Syakir yang tidak mengetahui apa-apa.
            "Betul. Sekarang ni Faz faham kan kenapa papa buat semua ni?" Dato' Farid memandang Fazira tanpa mempedulikan keadaan Syakir yang tidak mengerti apa-apa.
            "Apa semua ni?" Bentak Syakir, tidak mampu menahan sabarnya. "Bagilah surat wasiat tu!" Ujarnya sebelum merampas surat tersebut daripada Fazira. Sebaik sahaja dia membaca surat itu, wajahnya turut berubah seperti Fazira. Seluruh alam terasa seperti sedang berputar laju. Dia memandang ke arah Dato' Farid dengan wajah penuh tanda tanda.
            "Kenapa?" Soalnya. "Kenapa arwah Kak Sya nak Kier kahwin dengan Faz?"
                                                                                           


"Papa... janji dengan Sya... yang papa mesti tunaikan permintaan Sya ni... tak kira apa pun terjadi...janji dengan Sya..."

"PAPA janji Sya. Papa janji... Sya!" Dato' Farid tersedar dari mimpinya. Peluh mencurah-curah keluar dari dahinya yang berkedut itu. Dia memegang dada kirinya dan berusaha untuk menenangkan diri.
            Lelaki itu kemudiannya bersandar kembali ke kerusi. Dia mengingati kembali mimpi yang dialaminya tadi. Sudah beberapa kali arwah Syakila mendatangi mimpinya tetapi kali ini mimpi itu sangat jelas seakan memberikan petanda bahawa dia mesti menunaikan janjinya terhadap anak sulungnya sebelum arwah meninggal.
            Kepalanya kemudian berpaling ke arah meja bacaannya. Di atas meja itu terdapat tiga buah bingkai gambar hitam yang bercantum. Dia mengamati gambar yang terdapat pada ketiga-tiga bingkai gambar itu.
            Gambar pertama merupakan gambar keluarga yang diambil sewaktu Hari Raya Aidilfitri ketika arwah Syakila menjangkau usia dua puluh tahun. Kelihatan wajah arwah yang ceria sambil memeluk erat Fikri dan Syakir yang masing-masing berusia tujuh belas dan lima belas tahun. Nazira dan Syafiq yang baru lapan tahun pula duduk di sisinya dan isterinya. Pada ketika itu, dia berasa sangat bahagia dengan keluarganya. Dia tidak pernah menyangka tiga tahun kemudian, anak perempuannya itu akan pergi meninggalkannya.
            Gambar yang kedua pula adalah gambar keluarga yang diambil lebih kurang tujuh tahun yang  lalu sebelum Fazira melanjutkan pelajaran ke Perancis. Dia teringat betapa dia berasa bangga apabila mengetahui anak angkatnya terpilih untuk mengikuti kursus perfumery di sebuah institut minyak wangi terkemuka di Grasse, Perancis, yang juga merupakan tempat di mana dia belajar dahulu. Kehadiran Fazira sedikit-sebanyak mengubat kerinduaannya terhadap anak sulungnya. Walaupun gadis itu tidak semanja dan selembut arwah Syakila, namun kematangan gadis itu menenangkan fikiran dan hatinya. Adakalanya dia berasa kagum dengan pengalaman hidup yang wanita itu pernah lalui sedari kecil.
            'Sedangkan aku selama ini hidup tanpa memikirkan tentang perasaan orang lain...' bisik hati kecilnya yang rawan. Kali ini dia cuba untuk mencapai bingkai gambar yang ketiga dengan niat untuk menyentuh bingkai gambar tersebut. Salji menghiasi latar belakang gambar di mana terdapat dua orang anak perempuan ketawa girang sambil membuat orang salji. Belum sempat untuk dia menatap gambar itu dengan lebih jelas, pintu bilik bacaannya diketuk.
            Tidak lama kemudian, Datin Melisa muncul membawa dulang berisi jag air, secawan gelas kaca dan beberapa botol ubat-ubatan. Tanpa sebarang kata, isterinya itu meletakkan dulang ke atas meja bacaan lalu menghulurkan gelas berisi air dan pembuka botol ubat dengan beberapa biji pil yang berlainan warna dan bentuk.
            "Pahit..." rungut lelaki itu. Kemudian Datin Melisa menghulurkan gula-gula perisa strawberi kepada suaminya dengan wajah yang masam. "Macam budak-budak," rungut wanita tua itu pula. Senyuman tua terukir di bibir mereka yang sarat dengan pelbagai perasaan.
            "Syakir dari semalam lagi tak balik. Risau pula saya kalau dia lari ke Muar lagi," ujar Dato' Farid dengan hati yang gundah.
            "Abang janganlah risau. Kalau betul pun dia nak balik ke Muar, dia mesti akan jumpa dengan kita dulu. Sekarang ni dia mesti ada di 'situ'," ujar Datin Melisa yang lebih memahami perangai anak lelakinya.



LANGKAH Syakir terhenti di sebuah kubur bermarmar putih. Dia duduk bersila di hadapan kubur tersebut. Batu nisan yang terpahat nama 'Ain Syakila Bt. Farid Barul' diamati lalu diusap dengan rasa rindu yang mendalam. Kemudian, bibirnya mula membaca surah yasin yang telah berjaya dihafaz hasil pengajiannya di kampung di Muar.
            Usai sahaja membaca surah yasin dan doa kepada arwah kakaknya, dia menyiram kubur tersebut dengan air mawar. Haruman bau semerbak menusuk ke hidungnya. Lelaki itu kekal di situ, tanpa berkata apa-apa. Segala kenangannya bersama dengan arwah kakaknya berpusu-pusu datang ke ruang ingatannya.
            Arwah Syakila merupakan ahli keluarga yang paling rapat dengannya. Arwah kakaknya itu sentiasa menceriakan hatinya dan mendengar segala luahan perasaannya tanpa jemu. Yang paling penting, arwah kakaknya itulah yang sentiasa di sampingnya di setiap peristiwa penting yang berlaku dalam hidupnya.
            "Assalamualaikum, Kak Sya," ujarnya ke arah kubur tersebut, berusaha untuk menahan air matanya. "Kier minta maaf sebab dah lama tak datang. Tapi Kier tak pernah lupa untuk mendoakan akak dalam setiap doa Kier. Kier janji lepas ni akan sentiasa 'lawat' akak."
            "Tapi kenapa kak? Kenapa akak buat wasiat agar Kier berkahwin dengan Faz. Kier tak faham, apa sebenarnya yang akak fikirkan? Apa yang akak nampak pada perempuan tu?" soalnya, bertubi-tubi seolah-olah arwah Syakila berada di hadapannya. "Nak kata cantik..." Wajah lelaki berubah. "Okey, memanglah muka dia cantik. Tak payah pakai make-up pun muka dia dah berseri-seri. Eh...apa yang aku cakap ni? Kalau cantik tapi tak pandai buat apa..." Sekali lagi Syakir menundukkan kepalanya.
            "Okey, Kier tahu Fazira tu cantik, pandai dan berkebolehan tapi Kier tak akan sesekali kahwin dengan dia, akak faham tak?!" Tegasnya dengan tangan kanannya ditujukan ke udara. Buat seketika suasana menjadi sunyi. Barulah dia teringat yang dia berada di tanah perkuburan. Lelaki itu dapat merasai mata-mata yang memandangnya dengan pelik.
            "Mak, kenapa dengan orang tu?" soal seorang anak kecil kepada ibunya yang sedang berjalan menuju ke kubur ahli keluarga mereka.
            "Orang tu 'tak sihat' agaknya. Dah jangan tengok dia, nanti dia ganggu kita pula," bisik wanita itu kepada anaknya sambil memeluk erat anaknya.
            Wajah Syakir menjadi merah seperti tomato yang sudah masak. 'Apalah kau ni, Syakir. Buat malu saja!' marahnya kepada diri sendiri. Dia segera memakai cermin mata gelap sebelum melangkah laju meninggalkan perkuburan itu.



SATU susuk tubuh muncul di sebalik pokok besar yang terletak tidak berjauhan daripada kubur arwah Syakila. Wanita muda itu duduk membawa sebuah jag yang berisi air dengan kelopak bunya lavender dan mawar. Cermin matanya hitamnya segera dibuka.
            "Akak mesti bosankan dengar cakap adik akak yang manja tu," ujar Fazira lalu duduk bersimpuh di tepi kubur arwah Syakila. Dia tertawa lucu mengenangkan 'aduan' Syakir terhadap dirinya.
            "Tapi sekarang ni, saya pun nak mengadu dekat akak juga." Wajahnya kembali serius.          
            Fazira mula membaca yasin sehingga habis lalu berdoa dengan hati yang ikhlas serta bersungguh-sunguh. Dia sentiasa mendoakan agar arwah Syakila ditempatkan di tempat orang-orang yang beriman. Sekuntum bunga lavender diletakkan di tepi batu nisan yang terpahat nama arwah kakak angkatnya. Batu nisan itu diusapnya buat kali terakhir. Wajahnya kelihatan sarat dengan fikiran.
            'Akak tahu tak, selepas arwah ibu Faz meninggal, Faz dah putus harapan untuk hidup. Setiap hari Faz berharap yang penyakit Faz akan menjadi semakin teruk supaya Faz akan dapat jumpa dengan ibu lagi. Tapi...kenapa? Kenapa tiba-tiba akak muncul dan beri Faz peluang untuk hidup lagi? Sudahlah akak beri Faz keluarga dan tempat untuk berlindung, sekarang, akak sanggup berikan adik akak untuk saya kahwini. Kenapa? Apa yang jasa saya sampai arwah Kak Sya sanggup buat semua ni?' bisik hatinya.
            Fazira menahan air matanya, mengenangkan saat-saat terakhir dia dengan Syakila. Walaupun arwah sedang di dalam kesakitan namun arwah masih mampu tersenyum. Arwah berseorangan melawan penyakit kanser otaknya kerana tidak mahu membebankan ahli keluarganya. Dia yang turut ditempatkan di hospital yang sama kerana penyakit jantung berlubangnya sentiasa mencari alasan untuk bertemu dengan 'kakak sukarelawan' yang selalu mengganggunya.

            "Saya datang bukan nak jumpa ciklah. Saya cuma, saya cuma..."
            "Cuma apa?" Soal Syakila sambil tersenyum sinis. "Eleh, akak tahulah Faz nak jumpa akak, kan? Janganlah nak malu-malu kucing pula." Ujar wanita muda itu sambil menarik-narik pipi Fazira yang berusia lima belas tahun.
            "Berapa kali saya nak cakap nama saya Ainlah..." Fazira berhenti berkata-kata apabila melihat cecair pekat berwarna merah keluar daripada hidung Syakila.
            "Alamak, teruklah. Akak ni memang tak boleh sejuk sangat, kalau sejuk sangat, hidung akak mesti berdarah." Ujar Syakila sambil berusaha mencapai tuala putih di tepi meja. Namun Fazira terlebih dahulu mengambil tuala itu lalu mengelap hidung wanita itu.
            "Saya ni bukan sesiapa pun bagi cik dan cik pun  bukan sesiapa bagi saya. Jadi depan saya, cik tak perlulah nak berlagak kuat sangat!" Ujar Fazira dengan nada yang mendatar tetapi tegas.
            Wajah Syakila berubah, tidak menyangka yang anak sekecil itu mampu mengeluarkan kata-kata sebegitu. "Eh?" Dia berpura-pura tidak faham sambil tersenyum bodoh.
            Fazira mengenggam penumbuknya. Rasa geram, marah dan benci semuanya bercampur-aduk di dalam hatinya. Apa yang lebih menjengkelkan, dia merasai semua perasaan itu kerana Syakila, orang asing yang tiada pertalian darah dengannya.
            "Kan saya dah cakap jangan nak berpura-pura depan sayalah! Saya bencikan cik! Dan cik tahu apa yang saya paling benci tentang cik? Senyuman cik tu!" Fazira segala rasa tidak puas hati yang dipendamnya selama ini. "Cik sekarang ni tengah sakit, sakit kanser otak peringkat terakhir dan cik cuma ada masa untuk hidup beberapa bulan saja lagi. Macam mana cik masih lagi senyum? Sepatutnya, cik, sepatutnya cik..."
            'Jadi macam aku, hidup dalam kegelapan...' Bisik hati remaja perempuan itu.
            "Haii," Syakila meletakkan tangannya ke kepala Fazira yang berkerundung. Bibirnya yang pucat mengoleskan senyuman. "Terima kasih, akak gembira sebab Faz ambil berat tentang akak. Tapi Faz, akak tak mahu bazirkan masa yang akak ada dengan meratap. Kita hidup bukan untuk meratap, tapi untuk mensyukuri segala nikmat yang kita dapat daripada-Nya. Bersyukur kerana kita masih mampu menggunakan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan mulut untuk berbicara. Bersyukur kerana kita masih lagi hidup hari ni sebab kita masih lagi sempat untuk bertaubat dengan-Nya." Jelasnya dengan nada yang tenang bercampur tabah.
            Fazira terpana mendengar kata-kata wanita muda itu. "Benci... Faz bencikan akak..." Ujar remaja itu sebelum mengalirkan air mata sederas-sedarnya. Syakila memeluk tubuh Fazira seerat-eratnya. Dalam keadaan teragak-agak, Fazira turut membalas pelukan Syakila.

            "Apa yang akak nampak pada diri saya ni? Apa yang buatkan akak rasa saya berhak hidup berkeluarga?" Fazira mengutarakan persoalan yang dia tahu tiada jawapannya. Arwah Syakila tidak mampu lagi untuk memberikan jawapan itu kepadanya.
            "Saya cuma anak yatim, tak ada keluarga, nama atau harta nak dibandingkan dengan Abang Kier. Abang Kier layak dapat yang seorang isteri yang baik daripada keturunan yang baik-baik. Bukan macam saya..." Setitik air mata akhirnya jatuh daripada pipi Fazira.

            "Menangis tak bermaksud lemah. Malah orang yang menangis itulah orang paling kuat sekali. Kerana mereka mengaku yang mereka hanya hamba  yang penuh kekurangan."

            Dia teringat kembali nasihat yang diutarakan kepada arwah Syakila. Dia sesungguhnya manusia yang penuh dengan kekurangan. Walaupun daripada luaran dia kelihatan sempurna tetapi jika Syakir mengetahui perkara sebenar, dia pasti yang lelaki itu tidak akan memandangnya langsung.

            'Tidak...'

            Tiba-tiba angin bertiup lembut ke arahnya. Fazira merasai degupan jantungnya yang berdegup dengan kelajuan yang tidak sekata. Jantung yang dahulunya merupakan milik Syakila seakan ingin 'menyatakan' sesuatu.
           



Nota Feena:
Salam, semua!
Selamat Hari Malaysia!

Maaflah sebab dah hampir SETAHUN tak post apa-apa dalam blog ni! Feena busy dengan tahun akhir, praktikal dan nak siapkan manuskrip. Alhamdulillah, di pagi 16 September ni, Feena berjaya siapkan manuskrip novel FYI, DTS! Rasa berdebar-debar pula nak tunggu sama ada penerbit terima karya Feena atau tidak.

Atas permintaan ramai (ye ke?), Feena postkan sambungan FYI, DTS! yang terbaru. Bab adalah bab kedua terakhir yang Feena akan postkan kat blog ni.
Doakan semoga novel FYI, DTS! ni diterima dan dapat diterbitkan okey!



No comments:

Post a Comment