Friday 15 November 2013

FYI, Dia Tunang Saya! 7

Bab 7

Saya dah ada kekasih! Itu dia, Ain Fazira!”
“Itulah dia pengakuan daripada Encik Amirul Syakir anak kepada pemilik jenama produk minyak wangi yg terkenal di Malaysia. Sebelum ini kita dikejutkan dengan gosip selebriti terkenal Dayana di mana dia dikatakan pergi bercuti dengan Amir Fikri, abang kepada Amirul Syakir, CEO KZ Perfumes dan gambar mereka di Maldives tersebar luas di laman sosial. Amir Fikri dikatakan patah hati dengan isterinya yang dikatakan curang dengan Amirul Syakir. Kini Amirul Syakir tampil mengaku Ain Fazira yang merupakan adik angkatnya sebagai kekasih...”

Datin Melisa menutup siaran televisyen dengan kasar. Tidak sanggup untuk mendengar lebih lanjut tentang gosip terbaru yang berkaitan dengan keluarganya lagi.  Pandangannya beralih kepada Amirul Syakir, Ain Fazira dan Shirin yang berdiri di hadapannya seperti pelajar yang sedang menunggu hukuman daripada guru disiplin.
Datin Melisa menarik nafas dalam-dalam. Oleh sebab Dato’ Farid masih lagi ditahan di wad, tugas untuk mentadbir keluarga terletak pada tangannya. Dia tidak boleh membiarkan amarahnya mengaburkan fikirannya dalam membuat keputusan.
“Fikri...bila dia kata dia akan balik?” Soalnya kepada Luqman yang berdiri di sisinya.
“Kemungkinan hari ni atau esok, datin.” Ujar peguam muda itu.
“Luqman, tolong pastikan yang pihak media tak besar-besarkan lagi skandal ni. Dan beritahu mereka yang kita akan beri maklum balas tidak lama lagi. Suruh bahagian PR kita untuk buat persediaan.” Arah Datin Melisa tanpa ragu-ragu. Wanita separuh abad itu dengan mudahnya menunjukkan kehandalannya dalam menguruskan masalah syarikat walaupun sudah lama dia tidak terlibat dalam pengurusan syarikat.
“Baik datin. Kalau tak ada apa-apa saya pergi dulu.” Ujar Luqman. Dia meninggalkan ruang tamu rumah agam keluarga Dato’ Farid selepas sempat memerhatikan Ain Fazira yang cuba berlagak tenang di hadapan Datin Melisa
Datin Melisa berpaling ke arah orang gajinya yang paling tua. “Mak Mah, bawa Shirin naik atas dan berehat. Mummy dah telefon mak Shirin kat kampung dan dah jelaskan yang skandal ni tak betul. Nanti Shirin pergi telefon mak Shirin. Mummy tak mahu dia risau bukan-bukan.” Arah Datin Melisa lagi dengan jelas.
Mak Mak tidak menunggu lama untuk membantu Shirin yang berwajah pucat untuk naik ke atas. Kini yang tinggal di ruang tamu tersebut hanyalah Datin Melisa, Amirul Syakir dan Ain Fazira sahaja.
Amirul Syakir dan Ain Fazira tidak berkata apa-apa. Masing-masing hanya tunduk menunggu ledakan amarah Datin Melisa. Tidak sanggup untuk bertentang mata dengan wanita separuh abad yang terkenal dengan kegarangannya.
            Buat beberapa ketika Datin Melisa tidak bersuara membuatkan Amirul Syakir malah Ain Fazira yang terkenal dengan sikap sabar berasa gelisah. Mereka berdua terasa seperti duduk di atas bara api.
“Mummy, kalau nak marah, marah je lah! Jangan buat kami cemas macam ni!” Ujar Amirul Syakir yang tidak dapat bersabar lagi.
‘Kami?’ Entah mengapa perkataan itu mengundang senyuman di bibir Datin Melisa.
 “Lain kali ada akal tu guna, jangan buat semberono je!” Ujarnya tanpa sebarang riak marah, membuatkan Amirul Syakir dan Ain Fazira terpinga-pinga.
“Eh, mummy tak marah?” Soal Amirul Syakir dengan wajah yang polos.
“Kir dah besar, mummy dah malas nak masuk campur dalam urusan Kir. Tapi...” Datin Melisa memandang ke arah Ain Fazira sebelum beralih ke arah Amirul Syakir. “Kir dah terlajak kata. Kir kena bertanggungjawab terhadap apa yang Kir kata. Nak tak nak Kir dengan Fazira kena jadi pasangan kekasih. Muktamad!”
Ain Fazira dan Amirul Syakir berpandangan sesama sendiri, tidak percaya.

***

Haruman bunga ros yang beraneka warna menusuk ke hidung Ain Fazira. Dia meneliti kawasan rumah hijau milik Datin Melisa yang dibina di laman belakang rumah agam keluarga Dato’ Farid dengan rasa kagum. Dulu sewaktu dia tinggal di rumah itu, dia selalu menolong Mak Mah mencabut lalang dan menyiram pokok bunga di dalam rumah hijau tersebut.
            “Duduklah,” ujar Datin Melisa. Wajahnya tidak menunjukkan riak marah atau tegang tetapi sudah cukup untuk membangkitkan aura menakutkan.
            Ain Fazira mengambil tempat di kerusi yang berhadapan dengan Datin Melisa. Jujur dia agak seram untuk berhadapan dengan wanita berusia separuh abad itu sedari dulu lagi. Apabila mereka bersama, dia berasa seolah-olah sedang berhadapan dengan general perang.
            “Dd..datin, sebenarnya saya...” Tidak sempat Ain Fazira untuk berkata-kata, Datin Melisa sudah memotong kata-katanya.
            “Saya tahu, sebenarnya saya tak berniat pun nak Fazira masuk campur dalam masalah keluarga saya tapi si Syakir tu, huh,” Datin Melisa mengeluh berat sambil memegang dahinya. “Dari dulu sampai sekarang, perangai dia langsung tak berubah. Asyik buat keputusan terburu-buru je. Tak pernah nak fikir akibat sikap dia tu. Lepas tu si Fikri pula...” Datin Melisa terdiam seketika, membuatkan Ain Fazira mengasihani wanita separuh abad itu yang terpaksa melayan kerenah anak-anak yang tidak ‘matang’.
            “Keadaan syarikat sekarang, Fazira tahu, kan?” Soal Datin Melisa, menukar topik perbualan.
            Ain Fazira mengangguk. Sebenarnya kepulangannya ke Malaysia adalah untuk membantu syarikat KZ Perfumes mengalami masalah dari segi kewangan dan pengeluaran produk. Entah mengapa, produk KZ Perfumes sekarang semakin tidak digemari oleh pengguna. Dia ditugaskan oleh Dato’ Farid untuk mencari jalan penyelesaian.
‘Tapi, jadi kekasih abang Syakir tak termasuk dalam skop kerja aku.’
“Saya tahu tapi...” Ain Fazira cuba untuk membantah tetapi mulutnya terkunci apabila matanya bertembung dengan renungan Datin Melisa yang tajam. Dari dulu lagi renungan mata itu amat menakutkan.
“Ssaya... faham, datin.”
“Bagus,” Ujar Datin Melisa, berpuas hati. “Hari ni kamu tidur di sini. Bilik kamu, saya dah suruh Mak Mah kemaskan.” Ujar Datin Melisa sebelum pergi.
            Sekali lagi, Ain Fazira tidak mampu untuk membantah kata-kata ibu angkatnya itu. Dia kemudian berjalan keluar dari rumah hijau itu lalu menuju ke kolam ikan karp yang menjadi tempat kegemarannya untuk menenangkan fikiran.
            ‘Apa semua ni? Aku balik sini sebab nak tolong papa, bukannya untuk jadi kekasih abang Syakir. Aduh...tak sampai sebulan aku balik, aku terlibat dalam kemalangan dengan kakak ipar angkat aku...lepas tu tak alih-alih aku kena jadi kekasih abang Syakir yang memang terang-benderang bencikan aku! Apa yang aku patut buat, Ya Allah!’
            Ain Fazira menarik nafas dalam-dalam. Dia mengambil bungkusan lavender kering dari tas tangannya lalu melakukan perkara yang sama sewaktu di hospital.
            ‘It’s okay, Faz. You can do this. Demi papa dan arwah kak Sya.’
            “Awak tak apa-apa ke?” Soal Amirul Syakir yang muncul tiba-tiba.
Di saat itu Ain Fazira melaraskan pandangan ‘laser’nya kepada Amirul Syakir yang menjadi punca terjadinya semua masalah ini.  
“Okey, okey, saya tahu saya salah. Biar saya jelaskan dulu...”
“Saya bagi awak masa satu minit untuk jelaskan kenapa awak buat perkara ‘pandai’ ni sebelum penumbuk saya melayang kat muka awak tu!”

***

Saya bagi awak masa satu minit untuk jelaskan kenapa awak buat perkara ‘pandai’ ni sebelum penumbuk saya melayang kat muka awak tu!”
Renungan mata Ain Fazira berjaya membuatkan darah Amirul Syakir berderau. Dia percaya kalau dia tidak memberikan alasan yang munasabah pasti biji matanya akan lembam dalam masa satu minit.
            “Satu, dua, tiga...”
            “Okey, okey, okey!” Jawab Amirul Syakir sambil merapatkan kedua belah tangannya ke muka, meminta maaf. “Ini semua salah wartawan tulah! Ada ke patut diaorang kerumun Rin macam tu...”
            Wajah Ain Fazira bertambah keruh. “dua tujuh, dua puluh lapan, dua puluh sembilan...” Bilangnya dengan suara yang menahan marah.
            ‘Aduh, makin teruk pula ‘mood’ perempuan ni!’ Amirul Syakir menjadi panik. Otaknya ligat berkerja memikirkan jawapan yang sesuai. “Saya...saya...”
            “Tiga puluh empat, tiga puluh lima...”
“Saya minta maaf, okey! I’m sorry, dui bu qi, enna maniichudunga, go men na sai, mian he, je m’excuse!” Ujar Amirul Syakir dengan sekali lafaz.
“Saya tahu saya salah sebab libatkan awak. Saya pun tak tahu macam mana saya dapat idea tuk mengaku awak tu girlfriend saya. Waktu tu saya cuma terfikir apa yang saya boleh buat supaya wartawan-wartawan tu boleh faham yang saya dengan Shirin tak ada apa-apa, jadi saya...terfikir...awak calon...yang sesuai...”
“Saya, calon sesuai untuk jadi girlfriend awak?” Soal Ain Fazira sambil mengangkat keningnya.
‘Alamak, macam mana pula aku boleh tersasul ni?’ Amirul Syakir menutup mulutnya. “Bukanlah!” Dia menbalas dengan wajah yang merona merah. “Dah awak seorang je yang ada kat situ. Awak seorang jelah yang saya nampak...”
“Dah, cukup.”
“Kenapa? Saya tahu saya salah...” Hampir tak cukup nafas Amirul Syakir cuba untuk menjelaskan segala-galanya.
Sementara itu, Ain Fazira berusaha sedaya upaya untuk menyembunyikan senyumannya. Sebenarnya rasa marah di hatinya mula menyejuk apabila Amirul Syakir meminta dalam pelbagai bahasa tadi. Kata maaf terakhir yang berasal dari bahasa Perancis hampir membuatkan dia tertawa. Tahu juga lelaki itu yang dia mahir berbahasa Perancis.
 “Awak rasa ucapan maaf awak tu ada kesan apa-apa ke? Satu Malaysia dah dengar awak mengaku saya ni kekasih awak.” Ujar Ain Fazira, berpura-pura marah untuk mengajar Amirul Syakir.
“Saya...” Amirul Syakir menunduk, rasa malu untuk berdepan dengan wanita muda itu.
“Dah tak tahu nak cakap apa lagi?” Wajah Ain Fazira berubah menjadi tenang. Dia kini tersenyum sinis.
“Eh? Awak dah tak marah lagi...”
“Macam yang datin cakap,” ujar Ain Fazira sambil memeluk tubuhnya. “Kalau saya marah awak sampai telinga awak bernanah atau pukul awak sampai masuk hospital pun, boleh ke ubah kenyataan yang awak mengaku saya ni girlfriend awak? Tak, kan?” Ain Fazira cuba untuk berfikiran rasional.
Amirul Syakir terdiam, mengakui kata-kata wanita muda itu.
“Jadi, buat masa ni terpaksalah saya bersabar dengan kerenah awak yang tak matang ni.” Ujarnya lagi.
“Kenapa?” Soal Amirul Syakir, ingin tahu.
‘Sebab aku dah janji pada arwah kak Sya, untuk lindungi keluarga keluarga yang dia sayang sangat ni.’ Jawab Ain Fazira di dalam hati. Dia merenung jauh ke angkasa seolah-olah mencari-cari ketenangan di dalam awan yang memutih.
Renungan mata wanita yang kuyu itu membuatkan Amirul Syakir terasa seperti ingin memeluk wanita muda itu.
“Menarik...”
Ain Fazira dan Amirul Syakir berpaling ke satu sudut. Seorang lelaki yang berperawakan kacak bersandar di tepi tiang berdekatan kolam ikan tersebut. “Sekarang barulah keluarga ni terasa lengkap.”
‘Abang Fikri,’ bisik Ain Fazira.
“Fikri!” Ujar Amirul Syakir, mengetap bibirnya.
Amir Fikri memandang adik lelakinya sebelah mata sebelum mendekati Ain Fazira.
Long time no see, Faz.”


***
p.s from Afeena ^^
Salam, semua! Amacam cerita kali ni? Best tak? Feena rasa scene yang paling lawak ialah apabila Amirul Syakir minta maaf kat Ain Fazira guna tujuh bahasa yang berbeza. Siapa yang boleh teka apa bahasa yang digunakan? (Tapi tak ada hadiahlah ) 
http://matcuoi.com
Watak Datin Melisa pun pada pandangan Feena sangat menarik (ceh, syok sendiri! Hehe!) Feena cuba buat Datin Melisa ni seorang yang tegas pada masa sama munasabah, macam ala-ala pengetua atau permaisuri. Tapi tak bermakna dia sukakan Ain Fazira tau.
http://matcuoi.com
Last scene, muncul kehadiran salah satu watak antagonis FYIDTS, AMIR FIKRI! Dia ni ala-ala Dark Prince yang sarkastik tapi handsome. Dan di bab seterusnya, satu daripada misteri tentang Ain Fazira akan terbongkar. Klu: Ana Syakila....
http://matcuoi.com

1 comment: