Monday 19 May 2014

FYI, Dia Tunang Saya! 13

Bab 13

Di sebuah perbukitan yang tidak jauh daripada rumah agam keluarga Dato’ Farid Badrul, terdapat satu susuk tubuh berdiri dengan wajah yang penuh kesayuan. Dia melihat rumah banglo tiga tingkat itu yang dihiasi dengan khemah dan bunga manggar. Kelihatan para tetamu yang terdiri daripada sanak-saudara dan sahabat-handai keluarga tersebut yang berpakaian serba indah.
            Pada mereka, hari ini merupakan hari bagi meraikan dua jiwa yang bersatu di bawah satu ikatan yang suci. Namun baginya, hari ini adalah  hari di mana dia kehilangan orang yang disayanginya ke tangan orang lain. Hari ini merupakan hari perkahwinan Amir Fikri, lelaki yang pertama berjaya membuka pintu hatinya.
            Ain Fazira tersenyum kelat. Cuba untuk menguatkan diri. Andai ini takdir yang terbaik untuknya, dia pasrah. Malah dia mendoakan semoga lelaki itu bahagia dengan perkahwinan tersebut walaupun pertemuan kedua mempelai penuh dengan onar dan duri.
            “Semoga abang bahagia...” Tiba-tiba Ain Fazira terpandang kelibat seseorang yang melalui pintu belakang. “Abang Syakir?” Dia memerhatikan kelakuan abang angkatnya itu yang diketahui menghilangkan diri sejak Dato’ Farid Badrul memutuskan untuk mengahwinkan Amir Fikri dengan Shirin, kekasih lelaki itu.
            Dia dapat mengagak apa yang abang angkatnya itu ingin lakukan. Dia lekas mencapai telefon bimbit dari poket jaketnya. “Assalamualaikum, datin...”




Imbasan masa silam terhenti apabila Ain Fazira melihat Amir Fikri berjalan ke arahnya dengan wajah yang puas. Sempat juga abang angkatnya itu berkata kepadanya dengan nada yang paling menjengkelkan, “Good luck.”
            Ain Fazira hanya mampu berdiam diri. Dia menumpukan perhatian terhadap Amirul Syakir yang tidak bergerak dari tadi. Dia dapat merasakan bahawa lelaki itu sedang menahan amarah yang terbuku di dalam hati. Fikirannya kini ligat memikirkan bagaimana untuk menenangkan lelaki itu dan tidak merosakkan majlis hari jadi ayah angkatnya.
            “Awak..”
            “Betul ke?” Potong Amirul Syakir dengan wajah yang kosong. Ain Fazira menelan air liur. Dia berasa lebih risau apabila abang angkatnya itu tidak menghamburkan rasa marah.
            Ain Fazira mendekati lelaki itu agar perbualan mereka tidak didengari oleh orang lain. “Kita bincang lepas ni, boleh? Saya janji yang saya akan beritahu semuanya.” Pinta wanita itu.
            “Betul atau tidak?!” Kali ini Amirul Syakir terus berteriak. Ain Fazira berpaling ke arah dewan hotel. Sejujurnya, dia lebih risau tetamu mengetahui masalah keluarga mereka daripada dimarahi oleh abang angkatnya itu.
            “Saya tahu awak rasa tak puas hati dan marah sekarang tapi awak kena ingat yang kita depan tetamu sekarang. Lepas ni, lepas ni...”
            Kata-kata Ain Fazira terhenti apabila Amirul Syakir memegang kedua belah lengannya dengan kasar. Wajahnya terasa begitu dekat sekali dengan abang angkatnya itu. Dia tidak mampu bertentang mata dengan lelaki itu. Abang angkatnya itu kelihatan begitu ingin tahu perkara yang sebenar.
            “Ya, memang saya yang beritahu datin yang awak nak larikan kak Shirin.” Sejurus selepas pengakuannya, Amirul Syakir terus melepaskannya seraya tertawa sendirian. Seolah-olah mentertawakan nasib diri.
            Kemudian abang angkatnya itu memandangnya yang percikan api kemarahan. “Kau tahu tak apa yang kau dah buat?!” Teriaknya. “Kau dah rosakkan kebahagian aku!”
            “Rosakkan kebahagiaan awak? Awak sedar tak apa yang awak cakap ni? Awak sanggup ke terima kak Shirin yang sah-sah terlanjur dengan abang Fikri!” Balas Ain Fazira, tidak mahu mengaku kalah.
            “Memang aku tak peduli. Aku sanggup terima dia sebab aku cintakan dia!”
            “Dan anak mereka juga?” Pintas Ain Fazira.
            “?!...” Terdiam Amirul Syakir mendengar pertanyaan Ain Fazira. Dia tahu antara sebab utama ibu bapanya memaksa Amir Fikri berkahwin dengan Shirin adalah kerana Shirin disahkan mengandung anak abangnya. Kerana itulah dia membenci abangnya itu, kerana telah mencemari maruah kekasihnya sehingga hamil benih lelaki itu.
            “Kenapa tak jawab?! Kalau awak sendiri tak pasti sama ada awak boleh terima anak abang Fikri sebagai anak awak, macam mana awak boleh terfikir untuk bertanggungjawab terhadap kak Shirin? Dari dulu sampai sekarang, awak memang tak pernah nak berubah, kan? Tak pernah nak fikir sebelum bertindak. Selalu ikutkan perasaan awak saja. Apa yang saya buat adalah demi kebaikan keluarga kita!” Bentak Ain Fazira, mempertahankan dirinya. Dia sudah muak dipersalahkan oleh orang lain hanya kerana dia memilih untuk menjaga kepentingan keluarga. Jika dulu Amir Fikri, kini Amirul Syakir turut tumpang sekaki.
            “Keluarga kita?! Jangan perasanlah! Kau tu cuma anak pungut je! Anak pungut yang tidak sedar diri!”
            Menyirap darah Ain Fazira mendengar cacian Amirul Syakir. Dia paling pantang apabila orang mencacinya dengan perkataan sebegitu.
            Splashh!!


Splasshh!!!

***

“Ya Allah, apa dah jadi ni?!” Teriak Amira Nazira. Terkejut dia apabila melihat abang ngahnya muncul dengan pakaian yang lecun.
            “Shh!!! Naz nak semua orang tahu ke?” Ujar Amirul Syakir sambil meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Tidak mahu didengari oleh tetamu.
            “Macam mana baju abang boleh basah lecun macam ni? Abang terjatuh kolam ke?” Soal Amira Nazira separuh berbisik. Terdapat nada jenaka pada suara gadis itu. Amirul Syakir sekadar menunjukkan raut wajah masam. Tidak menyukai bagaimana adik boleh meneka apa yang terjadi dengan tepat.
            “Abang nak baliklah.” Ujarnya. Dia mahu mencerna kenyataan yang baru diketahui tadi. Bahawa Ain Fazira adalah orang yang merosakkan kebahagiaannya. Kalau diikutkan, dia juga mahu bertanyakan kepada ibunya tentang perihal sebenar tentang peristiwa tiga tahun yang lalu tetapi membatalkan hasratnya kerana memikirkan bajunya yang sudah basah lencun.
            “Eh, nanti dulu!” Tahan Amira Nazira. “Naz memang tengah cari abang Kir ni. Papa suruh abang Kir berkumpul dengan ahli keluarga kita yang lain kat pentas sekarang.”
            “Hishh, tak akanlah abang nak naik pentas dengan baju yang lencun macam ni!” Amirul Syakir memberikan alasan dengan wajah masam mencuka.
            “Iye, Naz tahulah. Abang jangan risau. Nasib baik Naz ada bawa ‘homework’ Naz sekali sebelum datang sini. Tapi abang jangan beritahu mummy pula.” Ujar Amira Nazira dengan gembira seola-olah dia telah memberikan idea yang bernas.
            Amirul Syakir mencebikkan bibirnya, tanda tidak setuju. Tidak pasal-pasal dia jadi mangsa peragaan adik perempuannya. “Daripada pakai baju design Naz, baik abang balik je.” Dia cuba untuk melarikan diri tetapi sempat lengan bajunya ditarik oleh Amira Nazira.
            “Eeii, abang ni. Abang bertuah tau sebab dapat peragakan baju Naz. Nanti bila Naz dah famous, baju yang abang pakai tu akan jadi rebutan artis, waktu tu siapa yang rugi?” Kata-kata Amira Nazira disambut dengan pandangan hambar abangnya. “Dah, dah, dah. Ikut Naz pergi kereta Naz.”



Minda Ain Fazira terbejat seketika selepas babak-babak pertengkarannya dengan Amirul Syakir di tepi kolam renang tadi. Masih terasa tangannya mengeletar selepas menolak lelaki itu ke kolam. Namun, hatinya yang tengah panas merasionalkan perbuatannya. Mungkin dia bertindak keterlaluan tetapi lelaki itu telah bersikap kurang ajar dengannya.
            Apakah wajar dia disalahkan kerana menghalang lelaki itu daripada bertindak melulu tiga tahun yang lalu? Apakah dia salah kerana memilih untuk menjaga nama baik keluarga dan memberi peluang kepada zuriat Amir Fikri dan Shirin untuk dibesarkan oleh ibu bapanya yang sebenar? Walaupun selepas perkahwinan itu, Shirin keguguran tetapi kini wanita itu hamil lagi. Kini, dia risau akan tindakan Amirul Syakir selepas ini. Apakah lelaki itu akan kembali bersikap over protective terhadap Shirin?
            Pada masa yang sama, dia turut risau jika Amir Fikri ada rancangan lain untuk membalas dendam terhadapnya. Dia tahu perangai abang angkatnya itu. Bukan mudah untuk lelaki itu memaafkan seseorang yang sudah mengkhianatinya. Namun, dia tidak menyangka yang bahawa dendam Amir Fikri terhadapnya begitu menebal. Apakah lelaki yang dicintainya suatu ketika dulu sudah mati?
            “Faz, kenapa mengelamun ni?”
Kehadiran Luqman di sisi Ain Fazira membuatkan wanita itu tersedar dari lamunannya. Dia segera memaniskan wajahnya, tidak mahu menceritakan peristiwa yang memalukan tadi kepada lelaki yang amat dihormatinya itu. Biarlah dia mencari jalan penyelesaian sendiri.
            “Tak ada apa-apalah, bang. Faz bosanlah dengan majlis macam ni.” Ujarnya, menyelindungkan perasaan sedih yang terpendam di hatinya. Kalau diikutkan sebenarnya dia memang tidak suka pergi ke majlis yang memerlukan dia berinteraksi dengan ramai orang.
            “Abang pun sama.” Balas Luqman yang kelihatan benar-benar bosan.
“Faz rasa Faz nak jumpa papa kejap, nak wish happy birthday lepas tu nak balik terus.” Putus Ain Fazira. Dia kalau boleh mahu mengelak daripada bertemu dengan Amirul Syakir. Pada masa yang sama dia tidak mahu melihat senyuman kemenangan daripada Amir Fikri.
            “Kalau macam tu, abang ikut sekali. Abang pun rasa macam nak balik awal,” balas Luqman, tanpa banyak soal.  
            “Abang Luqman, Kak Faz,” panggilan Amirul Syafiq mematikan perbualan mereka. Ain Fazira dan Luqman berpaling ke arah Amirul Syafiq yang menghampiri mereka. Segera lelaki muda itu berjabat tangan dengan Luqman dan mereka berbalas bertanya khabar dengan mesra. Sudah lama juga Luqman tidak bertemu dengan adik arwah tunangnya yang kini menuntut salah sebuah institut pengajian tinggi awam yang terkenal di Malaysia. Berlainan dengan kakak kembarnya, Amira Nazira yang memilih untuk melanjutkan pengajian di kolej swasta dan tidak tinggal di asrama.
            “Kak Faz, papa panggil naik ke pentas untuk acara memotong kek.”
            “Papa panggil?” Ain Fazira mengerutkan keningnya. Bukan Dato’ Farid Badrul tidak tahu bahawa dia tidak suka diperkenalkan di khalayak ramai. Dia sedar dengan kedudukan sebagai anak angkat keluarga itu dan paling benci apabila orang bertanya itu-ini tentang asal-usulnya.
            Ain Fazira dan Amirul Syafiq bersama Luqman pergi ke bahagian hadapan pentas di mana terdapat meja kek hari jadi lima tingkat yang terletak di hadapan dewan hotel tersebut. Kemudian dia dan Amirul Syafiq meninggalkan Luqman untuk menyertai ahli keluarganya yang berdiri di sisi Dato’ Farid Badrul yang berdiri di hadapan meja kek tersebut.
            Ain Fazira dapat menangkap jelingan yang maha tajam dari Amirul Syakir ditujukan ke arahnya tetapi dia berpura-pura tidak perasan. Dia menumpukan pandangannya kepada Dato’ Farid Badrul yang kelihatan gembira di sisi ahli keluarganya.
            Pengacara majlis memainkan peranannya menjelaskan aturcara seterusnya iaitu acara memotong kek oleh Dato’ Farid Badrul sendiri. Kemudian, pengacara lelaki yang berkarisma itu memberikan mikrofon kepada Dato’ Farid Badrul yang ingin mengumumkan sesuatu kepada para tetamu.
            Wajah Dato’ Farid Badrul yang tenang dan sentiasa tersenyum itu menjadi tumpuan para tetamu.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi hadir ke majlis hari jadi saya. Saya rasa semua orang tahu bahawa ini kali pertama saya membuat majlis hari jadi secara besar-besaran. Selalunya saya selalu buat di rumah sahaja tapi ada rezeki lebih sikit jadi saya rasa moleklah kalau kita berkongsi sesama pekerja syarikat yang sudah bertungkus lumus memajukan syarikat KZ Perfumes sehingga masih utuh berdiri ke hari ini.”
            Kata-kata lelaki yang berusia lewat lima puluhan itu menerima tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir. Sememangnya, Dato’ Farid Badrul merupakan seorang majikan yang mesra dan disayangi oleh para pekerjanya. Sikapnya yang menjaga kebajikan pekerja membuatkan dia dihormati baik kawan mahupun lawan di dalam dunia perniagaan.
            “Di sini, saya juga mempunyai satu pengumuman yang sangat penting. Faz,” panggil Dato’ Farid Badrul yang membuatkan Ain Fazira yang khusyuk mendengar tersedar lalu mrmbulatkan matanya.
            Ain Fazira dapat merasakan semua mata tertumpu kepadanya. Gadis itu memandang Luqman yang turut kelihatan keliru. Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga keluar dari barisan keluarga angkatnya lalu berdiri di sisi Dato’ Farid Badrul. Dia menyedari pandangan tajam Amirul Syakir yang kelihatan seperti ingin menelannya.
            “Syakir,” panggil Dato’ Farid Badrul lagi.
            Di kala itu, Ain Fazira terasa seperti ingin berlari keluar sahaja daripada dewan hotel tersebut. Tidak sanggup nak berhadapan dengan Amirul Syakir yang kini sudah menukar bajunya yang tadi basah dek terjatuh dalam kolam renang. Pada masa yang sama, dia tidak faham mengapa Dato’ Farid Badrul memanggilnya dengan lelaki itu.
‘Tak kanlah...’ Hatinya sudah mula membayangkan sesuatu yang tidak enak. Sejak dari awal lagi dia merasakan bahawa ayah angkatnya itu mempunyai agenda tertentu kerana beria-ia menyuruhnya pulang ke Malaysia.
            “Hari ini merupakan hari yang paling bahagia dalam hidup saya bukan sahaja kerana hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran saya tetapi juga kerana hari ini dua insan yang saya sayangi bakal mengikat janji untuk membina kehidupan bersama. Saya dengan gembiranya mengumumkan pertunangan anak saya Amirul Syakir dengan anak angkat saya, Ain Fazira.”
            Serentak, mata Ain Fazira dan Amirul Syakir membulat lalu berpandangan antara satu sama lain.
            ‘Katakanlah ini satu mimpi. Sesiapa tolong kejutkan aku dari mimpi ngeri ini!!”  

Macam nilah kot muka si Faz dengan Syakir, hehe...

***

Salam, semua!! 
Hari ni Feena happy sangat sebab berjaya menghabiskan bab kali ni. http://eemoticons.netHoho, akhirnya kita tiba ke bab yang dinanti-nantikan (perasan) iaitu bab di mana Faz dengan Syakir ditunangkan.http://eemoticons.net Lega sebab susah betul nak cari mood tulis scene flashback waktu Faz tengok rumah keluarga Dato' Farid Badrul yang menjadi tempat pernikahan Fikri dengan Shirin.http://eemoticons.net Salah satu cara nak timbulkan feeling sedih, waktu tulis scene tu, Feena dengar lagu ost Ariana Rose nyanyian Dayang Nur Faizah. Bab kali ni lebih pendek berbanding yang sebelumnya sebab Feena nak tekankan scene pertengkaran Faz dengan Syakir. So, macam mana? Ok tak? Rasa-rasanya Faz terima tak tawaran ayah angkatnya untuk jadi tunang Syakir? Dan kenapa Dato' Farid Badrul beria-ia sangat nak Faz jadi menantunya? Nak tahu? Tunggu....
http://eemoticons.net

2 comments: