Thursday 6 February 2014

FYI, Dia Tunang Saya! 10

Bab 10

“AWAK. NAK. APA?”
            “Warghh?!” Amirul Syakir tersedar dari lamunannya. Wajah Ain Fazira memenuhi ruang pandangannya, membuatkan dia terkejut sangat-sangat, dalam bahasa kasarnya terkejut ‘beruk’.
            “Hishh, awak ni tak reti bagi salam ke? Ni main terjah orang macam gitu je. Manalah tahu kalau orang ada sakit jantung ke, lemah semangat ke, siapa yang susah?” Leter lelaki itu sambil mengurut-gurut dadanya.
            Ain Fazira mengetap bibirnya menahan marah. Nasib baiklah mereka berada di tempat terbuka. Kalau tidak, sudah lama dia hadiahkan satu tumbukan percuma pada muka abang angkatnya itu.   Dari pejabat sehingga ke Suria KLCC, Amirul Syakir tidak berhenti dari mengekorinya. Tebal mukanya menahan malu apabila orang ramai berbisik-bisik melihat kelakuan Amirul Syakir yang terhendap-hendap mengikutnya
            ‘Sabar, Faz. Jangan dilayan orang tak betul ni. Makin dilayan makin sakit hati adalah.’ Bisik hati kecilnya. Dia berpaling lalu melangkah laju meninggalkan Amirul Syakir, sengaja membiarkan lelaki itu bercakap seorang diri.
            “Hei, Faz! Tunggulah sekejap.” Amirul Syakir tidak berhenti daripada mengekori adik angkatnya itu.
            “Awak ni nak apa sebenarnya?” Ujar Ain Fazira dengan wajah yang masam. Dia masih lagi tidak memperlahankan langkahnya menyebabkan Amirul Syakir terkial-kial untuk mengejarnya.
            “Yelah, saya nak temankan awak makan. Saya kasihan tengok awak, selalu makan sorang-sorang. Awak ni kan jenis tak mesra alam, sebab tu tak ada ramai kawan....” Kata-kata Amirul Syakir terhenti apabila mata Ain Fazira tajam merenungkan ibarat anak panah beracun.
            “Bu, bukan itu maksud sayalah!” Tergagap-gagap lelaki itu ingin menjelaskan. ‘Ishh, kenapalah aku suka sangat cakap yang bukan-bukan!’ Amirul Syakir mengeluh perlahan. Dia sebenarnya ingin menjernihkan suasana antaranya dengan wanita muda itu. Sejak daripada peristiwa tempoh hari, Ain Fazira asyik mengelakkan diri daripadanya seolah-olah dia wabak penyakit berjangkit H1NI.  Bila saja mereka berjumpa mulalah wanita muda itu mengeluarkan angin dingin dari kutub selatan.         
            “Lepaslah!!” Jeritan seorang wanita menarik perhatian mereka berdua. Ain Fazira dan Amirul Syakir lantas memandang ke hadapan di mana ramai orang berkerumun menyaksikan untuk ‘drama’ swasta terbaru. 
            “Tolonglah, saya merayu. Jangan ganggu suami saya lagi!” Ujar perempuan yang seorang lagi yang bertudung likup.
            “Eh, itu bukan Shirin ke? si Dayana tu pun ada sekali?” Ujar Amirul Syakir seorang diri.  
            “Hei, kau yang tak pandai suami kenapa kau nak salahkan aku?” Mendidih hati lelaki itu apabila mendengar kata-kata Dayana yang bongkak. Selebriti popular itu menghadiahkan senyuman sinis kepada Shirin yang pucat lesi selepas mendengar kata-katanya.
            “Kau ingat Fikri boleh maafkan kau lepas apa yang kau buat pada dia?” Soal Dayana dengan angkuhnya. “Kau, main kayu tiga dengan adik ipar kau sendiri! Entah-entah, anak dalam kandungan kau tu bukan anak Fikri, tapi anak Syakir.”
            Satu tamparan hinggap ke muka Dayana. Dayana melepaskan cengkamannya lalu meraba pipinya yang kesakitan. “Kkkau...tampar aku??!!” Dia memandang ke arah Shirin yang semakin pucat. Wanita itu kelihatan seperti baru menyedari perbuatannya.
            “Kau memang perempuan tak guna!!” Dayana menghayunkan tangannya setinggi yang boleh agar dapat memberikan kesakitan tahap maksima pada perempuan yang bertudung likup itu. Dia tidak boleh membiarkan maruahnya tercalar.
            Shirin yang ketakutan hanya mampu menutup mata dan berserah kepada nasibnya.

Hei, sakitlah!! Kau ni siapa hah?”
            Shirin membuka matanya. Spontan matanya terbeliak melihat lengan Dayana dikunci dari belakang oleh seorang wanita muda yang berwajah cantik tetapi serius. Dia dapat mengecam wajah wanita muda itu walaupun hanya pernah berjumpa beberapa kali.
            ‘Ain Fazira...’
            “Siapa saya tak penting. Cik Dayana mesti tak mahu imej cik sebagai selebriti tercalar disebabkan insiden ni, kan? Saya cadangkan cik cepat tinggalkan tempat ni sebelum gambar cik diambil.” Ujar Ain Fazira lalu melepaskan wanita itu.
            Dayana memberikan pandangan tajam ke arah Ain Fazira yang dibalas tanpa sebarang perasaan takut. Wanita itu kemudian memandang Shirin yang agak takut-takut seakan memberi amaran yang perkara tersebut belum berakhir sebelum meninggalkan tempat itu seperti lipas kudung.
            “Akak tak apa-apa?” Soal Ain Fazira kepada Shirin. Wanita itu mengeleng. Dirinya kini dipenuhi dengan perasaan takjub dan kagum. Buat kali pertama dia bersendirian dengan Ain Fazira, anak emas Dato’ Farid Badrul yang menjadi bualan keluarga tersebut.

***

Alunan piano yang memainkan lagu Thousand Years yang dinyanyikan oleh Christina Perri meredakan serba-sedikit rasa gemuruh di hati Shirin.
            Ain Fazira menghulurkan air kepada Shirin yang kelihatan terganggu dengan peristiwa tadi.
            “Terima kasih,” ujar Shirin dengan nada janggal.
            “Kali pertama?” Soal Ain Fazira pendek.
            “Hem?” Shirin tidak memahami soalan Ain Fazira.
            “Ini kali pertama ke akak gaduh dengan orang sebab akak nampak amatur sangat.” Seloroh wanita muda itu yang tidak kedengaran lucu langsung.  Makin membuatkan Shirin semakin kekok adalah.
            “Maaf,” ujar wanita yang bertudung bawal berwarna krim itu sambil menundukkan kepalanya.
            “Emm, Faz...” Ain Fazira menatap wajah Shirin yang kelihatan pucat mungkin disebabkan tertekan dengan masalah yang dihadapinya. Wanita yang berbaju kurung warna sedondon dengan tudungnya kelihatan takut-takut untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.
            “Tolong jangan beritahu mummy ya.” Pinta Shirin. “Mummy pasti marah kalau dapat tahu akak jumpa dengan Dayana.” 
            “Mummy akan marah, tapi bukan sebab akak jumpa dengan Dayana. Sebabkan akak bahayakan diri akak dan anak dalam kandungan akak.” Balas Ain Fazira tanpa berbasa-basi. “Kalaupun akak marah atau pukul Dayana, akak rasa masalah akan selesai? Macam mana kalau Dayana pukul akak dan akak tercedera? Kalau kandungan akak terjejas bagaimana?”
            Riak wajah bersalah Shirin membuatkan Ain Fazira berhenti berkata-kata. Risau pula kata-katanya akan membuatkan wanita bertudung itu tertekan dan menjejaskan lagi kandungannya.
            “Akak sayangkan abang Fikri?” Soalan Ain Fazira yang secara tiba-tiba membuatkan Shirin terkedu.
            “Akak percayakan dia?” Soal wanita muda itu lagi tanpa menunggu jawapan daripada kakak ipar angkatnya itu.
            Lidah Shirin terasa kelu untuk menjawab soalan-soalan itu. Dia sendiri tidak mengetahui jawapan untuk soalan itu. Apatah lagi dia dan Amir Fikri berkahwin bukan dasar cinta, lebih kepada dasar tanggungjawab.
            “Perkara yang abang Fikri paling takut adalah apabila hatinya terluka. Jadi, dia susah nak percayakan orang lain dan susah nak maafkan orang yang dah buat salah dengan dia. Dia lebih rela lukakan hati orang dari hatinya dilukai. Sebab tu orang selalu abang Fikri tu ego dan pentingkan diri sendiri. A TOTAL jerk!” Selamba sahaja Ain Fazira mengutuk abang angkatnya itu.
            “Tapi saya percaya yang abang Fikri ikhlas kahwin dengan akak. Abang Fikri tak akan ambil risiko berkahwin dengan orang yang dia tak percaya boleh membahagiakannya. Kalau akak nak dapat kembali kepercayaan dia, akak perlu bersabar untuk masa yang lebih lama.” Tambah wanita muda itu lagi sebelum tersenyum kelat ke arah Shirin, cuba untuk meredakan kesedihan wanita itu.
            Perbualan mereka terhenti apabila persembahan piano tamat. Pemain piano yang memakai dress lengan panjang berwarna hitam menerima tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir.  Wanita berkulit putih dan berhidung mancung itu menunduk hormat di hadapan tetamu dan kemudian melangkah ke arah meja Ain Fazira dan Shirin dengan senyuman.
            “Faz!” Sophie menyapa lalu memeluk Ain Fazira dengan mesra. “Sampai juga you kat tempat kerja I. So, siapa ni?” Soal wanita itu ke arah Shirin yang kelihatan terkejut mendengar ‘orang putih’ boleh bercakap bahasa Melayu.
            “Kenalkan, ni Sophie, kawan saya yang berasal dari London. Sophie, ni Shirin, kakak ipar angkat I.” Jelas Ain Fazira.
            “Aduh, complicatednya hubungan you berdua ni.” Rungut Sophie seketika sebelum berjabat tangan dengan Shirin. “Kalau I panggil you Shirin, you tak kisah?” Soalannya dibalas dengan gelengan oleh Shirin. “Good! I think we’re going to be bestfriend. Lepas ni you berdua buat apa? Jom kita pergi shopping!” Ujar wanita kacukan itu dengan nada kanak-kanak Ribena yang tidak sesuai sekali dengan imej elegan yang ditunjukkannya sekarang.
            “Sorrylah, I kena balik pejabat.” Balas Ain Fazira, pendek. Mata wanita muda itu tidak berganjak dari Samsung Galaxy Notenya.
            “Eh? Boringlah you ni.” Mulalah bibir Sophie memuncung seperti ikan mas.
            “Lain kalilah.” Ujar Ain Fazira tanpa berniat untuk memujuk wanita berusia awal tiga puluhan itu.
            Pandangannya beralih ke arah Shirin. “Kak, saya dah mesej Pak San. Dia tunggu akak kat pintu utama Suria KLCC. Saya hantar akak ke situ.”
            “Baiklah.” Shirin akur tanpa sebarang bantahan.
            “Bye, Shirin. Nanti datang lagi.” Sophie lantas mencium kedua belah pipi Shirin. Pada mulanya dia juga ingin berbuat perkara yang sama terhadap Ain Fazira tetapi wanita muda itu sempat menghalang dengan tangan.
            Wajah Sophie yang ceria dan sentiasa tersenyum berubah apabila Ain Fazira dan Shirin pergi daripada restoran tersebut.
            “Looks like things are going to be very, very interesting.” Bisiknya sambil tersenyum sinis seorang diri.

***

“Faz!”
            Kelibat Amirul Syakir dari belakang dilihat dengan malas sebelum Ain Fazira melangkah memasuki bangunan pejabat KZ Perfumes tanpa menunggu lelaki itu.
            Berkerut kening Amirul Syakir dengan kelakuan wanita muda itu yang semakin dingin dengannya. Dia perasan yang wajah Ain Fazira berubah ketika Shirin berbisik dengan wanita muda itu sebelum pergi dengan Pak San.
            “Faz, tunggulah!” Dia mendapatkan Ain Fazira yang sedang menekan butang lif. Ain Fazira memandangnya dengan wajah yang masam.
            “Apa dia?” Soalnya, pendek. Nada suaranya yang lemah membuatkan Amirul Syakir semakin ingin tahu apa yang dikatakan oleh Shirin sebelum pergi.
            “Takdelah. Saya perasan dari tadi lagi muka awak pelik semacam. Sebelum Shirin pergi dia ada beritahu sesuatu, kan? Apa yang dia beritahu awak?”
            “Perkara yang awak tak perlu ambil tahu.” Jawab Ain Fazira yang menumpukan pandangannya pada pintu lif. Dia memeluk tubuhnya dengan wajah bersahaja tetapi tidak dapat menyembunyikan ribut yang melanda di hatinya. Kata-kata yang dibisikkan oleh Shirin sebelum menaiki kereta yang dipandu oleh Pak San bergema kembali di mindanya.

            “Maaf,” Ujar Shirin, tiba-tiba membuatkan Ain Fazira terkedu seketika.
            “Em? Maaf sebab apa?” Soal Ain Fazira. Sejak tadi lagi dia perasan yang kakak ipar angkatnya itu suka sekali mengutarakan kata maaf. Malah untuk perkara yang remeh dan tidak berkepentingan. Apa agaknya ‘kesilapan’ yang telah dilakukan oleh wanita berwajah pucat itu.
            “Akak tahu yang akak tak sepatutnya cakap begini. Tapi, tapi, akak harap Faz berhenti bercakap seolah-olah Faz sangat mengenali abang Fikri. Akak harap Faz, jangan dekati suami akak lagi.”
            Mata Ain Fazira terbeliak kerana tidak menyangka kata-kata itu keluar dari mulut Shirin. “Apa maksud akak?”
            “Akak tahu. Akak tahu  tentang Faz dengan abang Fikri. Dulu papa nak jodohkan Faz dengan abang Fikri, kan? Dan kamu berdua dengan rela hati setuju cadangan papa, kan?” Jelas Shirin.          
            “Akak tak tahu apa yang menyebabkan Faz dan abang Fikri tak jadi kahwin tapi akak dapat rasakan yang kamu berdua berpisah bukan sebab tidak sehaluan, kan?” Wanita bertudung itu menatap wajah Ain Fazira dalam-dalam, inginkan kepastian.
            “Itu semua cerita lama,”       
            “Gambar tu, abang Fikri masih simpan lagi sampai sekarang.”

            “Awak ni, saya sabar je tau bila awak seorang je yang tolong Shirin. Awak kenalah beritahu saya Shirin tu macam mana. Dia okey ke? Ada sakit kat mana-mana?”
            “Hishh, awak ni kan! Kalau saya kata tak ada apa-apa, tak ada apa-apalah!” Bentak Ain Fazira, membuatkan Amirul Syakir terdiam. Lelaki itu memberikan pandangan terkejut bercampur takut.
            Ain Fazira mengeluh berat. “Maaf, saya tengah pening kepala ni.” Ujarnya, cuba untuk meredakan ketegangan.
            “Takdelah, saya yang patut minta maaf.” Balas Amirul Syakir yang menjadi penutup perbualan mereka.
            Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi loceng menandakan lif telah sampai ke tingkat mereka. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, segalanya pergerakan seolah-olah menjadi perlahan, terlalu perlahan. Ain Fazira membatu di hadapan pintu lif. Kehadiran seseorang di dalam lif tersebut membuatkan tubuhnya menjadi kaku.          
            ‘Abang Fikri.’
            Ain Fazira terus-terusan memandang Amir Fikri  tanpa mempedulikan sesiapa yang ada di situ. Malah Amir Fikri juga turut membatu, cuba untuk membaca fikiran wanita muda itu dari matanya.
            Kata-kata terakhir Shirin terngiang-ngiang kembali di telinga Ain Fazira.

            “Gambar tu, abang Fikri masih simpan lagi sampai sekarang.”

***

p.s dari Afeena: Salam semua ^_^ !!! Pertama sekali, sorry sangat-sangat sebab dah lama tak update. Lepas habis je sem 1 terus hiatus. Feena bukan apa, tiba-tiba diserang writer block tahap kronik. Ambil masa juga untuk merangka dan menulis bab 10 ni. Stress betul memikirkan apa yang patut ditulis pada bab kali ni. Hasilnya, inilah bab terpanjang yang Feena pernah tulis.

Hasilnya, bagaimana? Terkejut tak? Macam yang Sophie cakap, hubungan antara watak dalam FYI, DTS! ni sangat complicated. Semua watak ada kaitan antara satu sama lain. Kalau dibuat peta hubungan rasanya anak panah akan bersimpang-siur. Kalau nak tahu lebih lanjut kenalah,tunggu bab seterusnya.

Bab selepas ni akan menceritakan peristiwa yang berlaku sebelum prolog terjadi. Kalau korang ingat balik, Ain Fazira dan Amirul Syakir bergaduh sehingga Amirul Syakir terpaksa menukar bajunya. Bergaduh pasal apa ya? Apa yang Ain Fazira dah buat sampai Amirul Syakir terpaksa menukar baju. Tunggu dan lihat.....

2 comments:

  1. keliru skit la kisah silam dorang ni,ni buat trtunggu2 smbngnnya.. x saba nk bce next entry.

    ReplyDelete