Thursday 26 December 2013

FYI, Dia Tunang Saya! 9

Bab 9 

Syida tersengih melihat salah seorang remaja perempuan yang tinggal di rumah anak yatim Rantaian Kaseh yang diuruskan oleh ibunya mengendap di tepi pintu dapur. Gadis itu kelihatan asyik memasang telinga dan tidak berhenti dari memandang Luqman yang sedang berbual dengan Ummi di dapur.
            “Aii, Balqis, terhendap-hendap macam pencuri ni kenapa? Malu dengan abang Luqman ya?” Selorohnya yang mengundang rona merah di pipi Balqis.
            “Aappa...yang akak merepek ni? Balqis, cuma...” Serentak mata Balqis dan Luqman bertemu. Gadis itu tergagap-gagap untuk menjawab. “Dahlah, Balqis pergi dulu.” Ujarnya lalu berlari laju meninggalkan dapur.
            “Syida ni kan, suka sangat menyakat orang.” Ujar Ummi.
            “Ala, ummi ni, bukan senang Syida nak usik si Balqis tu, cuma bila ada Luqman je.” Ujar Syida sambil tersenyum nakal. Dia mengambil tempat di sebelah ibunya sambil mengusap-usap perutnya yang memboyot.
            “Ishh, kau ni! Nama je mak budak tapi perangai macam budak-budak lagi.” Ujar Luqman dengan selamba. Dia dan Syida merupakan teman rapat sejak dari zaman universiti lagi. Cuma sekarang mereka jarang berjumpa disebabkan tuntutan kerja dan kesibukan Syida menguruskan rumah tangga.
            “Kau tu bila lagi? Aku dah masuk dua dah tau tapi kau, bayang isteri pun tak nampak.” Seloroh Syida.
            “Nak buat macam mana jodoh aku masih belum sampai lagi.” Luqman menjawab sambil tersenyum kelat. Terdapat sinar kelukaan di mata lelaki itu yang membuatkan Syida dan Ummi terdiam. Mereka tahu yang Luqman masih lagi belum dapat melupakan tunangnya, Ana Syakila walaupun sudah lebih tujuh tahun wanita itu meninggal dunia.

            “Jodoh memang di tangan Allah, Luqman tapi pokok pangkalnya kita juga. Kalau Luqman tak buka pintu hati Luqman, bagaimana Allah nak berikan jodoh kepada Luqman.” Nasihat Ummi seperti seorang ibu kepada anaknya. Wanita separuh abad itu berasa simpati mengenangkan nasib lelaki itu yang masih setia pada arwah Ana Syakila yang telah meninggal dunia.
            “Luqman faham tapi hati Luqman dah terkunci rapat Ummi. Dan belum ada orang yang buka hati Luqman lagi.”
            Mereka masing-masing melayan perasaan. Kehilangan seorang insan bernama Ana Syakila memberi kesan yang mendalam kepada mereka yang amat mengagumi kemuliaan hati gadis itu. Sikap arwah yang merendah diri dan tidak riak dengan statusnya sebagai anak orang berada sentiasa menjadi pujian sewaktu arwah masih hidup.
            Selepas beberapa ketika Luqman membuka bicara. “Ummi, saya nak minta izin untuk pergi ke ‘Taman Ana’ boleh?”

Luqman melalui denai kecil yang dengan dengan barisan pokok yang besar. Lelaki itu mengambil sehelai daun kering yang gugur berwarna coklat keemasan. Ia menginggatkan dia kepada saat ketika dia dan Ana Syakila bersama-sama menjadi sukarelawan di rumah anak yatim itu.
            Arwah Ana Syakila bersama-sama dengan anak-anak yatim di rumah Rantaian Kaseh akan bermain dengan dedaun kering yang berguguran seolah-olah dedaun tersebut adalah salji. Kemudian mereka akan mengumpulkan dedaun tersebut dan berbaring di atasnya sambil melihat langit yang membiru.
            Ana Syakila mempunyai kelebihan dalam mengambil hati anak kecil. Entah mengapa arwah seakan-akan memahami hati kecil mereka yang dahagakan kasih sayang. Dia merupakan ‘kakak’ kegemaran semua anak yatim yang tinggal di rumah tersebut. Sifat penyayang dan baik hati Ana Syakila itulah yang membuatkan dia jatuh hati kepada bekas tunangnya itu.
           
            ‘Sya percaya yang kebaikan itu ibarat benih. Apabila kita tanamkan pada tanah lalu disiram dan dibaja, benih itu akan bercambah menjadi pokok sehinggalah pokok itu berbunga dan berbuah. Dan kemudian buah itu akan menghasilkan benih yang baru dan bercambah menjadi pokok yang baru. Sebab itulah, Sya nak lakukan kebaikan sebanyak-banyaknya supaya orang lain pun akan turut berbuat kebaikan.’ Ujar Ana Syakila sambil melihat langit yang membiru.
            Kemudian gadis itu berpaling ke arah Luqman sambil menayangkan senyumannya yang manis. Luqman buat seketika terpesona dengan pandangan gadis itu yang tulus dan tidak berpura-pura.
            “Apa tengok-tengok? Dah jatuh cinta dengan Sya ke?” Soal gadis dengan nada yang nakal yang membuatkan pipi Luqman merona merah. Ana Syakila ketawa lucu melihat wajah lelaki itu lalu mereka berdua turut tertawa bersama-sama.

            Luqman tersenyum. Sikap dan telatah Ana Syakila yang manja masih belum luput dari memorinya walaupun sudah lama wanita itu pergi dijemput Ilahi. Dia melihat langit yang luas. Seakan-akan terlihat wajah bekas tunangnya yang sedang tersenyum di sebalik langit yang membiru.
            “Biru langit hari ni”
            Wajah Luqman berubah. Lelaki itu terasa bagaikan mendengar suara seorang wanita muda yang turut berkata perkara yang sama sepertinya. Dia memandang ke arah taman berpagar putih yang dibina oleh Ana Syakila di mana dia dapat melihat satu susuk tubuh wanita yang dikenalinya. Kehadiran Ain Fazira di taman itu merupakan satu kejutan yang besar baginya sehingga mulutnya hampir terlopong. Wanita muda itu turut kelihatan terkejut.
            “Apa yang Faz buat dekat sini?” Soalnya, tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya.

***

Ain Fazira berjalan bersendirian selepas berjumpa dengan Ummi. Wanita tua itu dibiarkan berbual dengan anak kandungnya, Syida. Dia teringin untuk melihat-lihat kawasan rumah anak yatim yang pernah didiaminya lebih tujuh tahun yang lalu. Sewaktu dia pergi bersama dengan Sophie tempoh hari dia tidak berkesempatan untuk pergi ke tempat-tempat kegemarannya.
            Rumah anak yatim itu kelihatan ceria dan mengalukan kedatangan tetamu. Hilai tawa kanak-kanak mewarnai rumah yang diselia oleh Puan Nafisah atau lebih dikenali sebagai Ummi. Wanita yang berusia separuh abad itu sentiasa mengeluarkan aura kemesraan sehingga tiada sesiapa di situ yang terasa kekurangan kasih sayang. Sepanjang dia tinggal di situ, Ummi dan Syida melayannya seperti keluarga tanpa sebarang prejudis atau berat sebelah.
            Langkah Ain Fazira terhenti di sebuah taman yang berpagar putih. Taman itu merupakan taman yang dibina oleh Ana Syakila sewaktu arwah menjadi sukarelawan di rumah tersebut. Apa yang menariknya mengenai taman itu ialah rimbunan pohon lavender yang ditanam membentuk emoticon smiley yang merupakan ‘trademark’ Ana Syakila. Ain Fazira memasuki taman itu, lalu mencangkung untuk menghidu bunga lavender yang berwarna ungu lembut. Haruman bunga tersebut yang lembut dan mendamaikan telah membangkitkan kembali kenangan masa lalu ketika dia bersama dengan insan mulia itu.

            “Faz!!” Dari kejauhan kedengaran suara Ana Syakila. Ain Fazira memuncungkan mulutnya, tidak selesa dengan kehadiran gadis itu.
            “Nama saya Ainlah, Ain Fazira!” Ujar anak kecil yang berusia dua belas tahun itu dengan wajah yang masam.
            “Ala, nama Faz kan lagi glamour!” Balas Ana Syakila yang sentiasa murah dengan senyuman. Rambut Ain Fazira diusap dengan lembut membuatkan anak kecil itu memuncungkan mulutnya kerana tidak suka dilayan seperti budak-budak.
            “Jeng,jeng,jeng! Cuba tengok apa yang akak bawa ni.” Ujar Ana Syakila tanpa mempedulikan rungutan Ain Fazira. Dia menunjukan sebatang tumbuhan yang berbau harum kepada anak kecil itu.
            “Apa ni?” Soal Ain Fazira kepada wanita yang berkulit putih dan berhidung mancung itu. Dia meneliti tumbuhan yang kelihatan seperti lalang tetapi berwarna ungu muda.
            “Ini namanya bunga lavender. Cuba bau, wangikan?” Ana Syakila mendekatkan bunga tersebut ke hidung Ain Fazira secara tiba-tiba. Haruman yang lembut dan menenangkan menusuk ke hidung anak kecil itu. Anak kecil itu rasa terbuai dengan aroma yang menenangkan sehingga rasa tidak senangnya hilang.
            “Akak nak tanam bunga ni kat sini.” Ujar Ana Syakila sambil menyelitkan bunga tersebut ke telinga Ain Fazira.
            “Kat sini? Boleh ke?” Soal Ain Fazira, yang agak skeptikal.
            “Apa pula tak boleh ye? Kalau niat kita baik, InsyaAllah, Allah akan bagi kemudahan.” Jelas Ana Syakila dengan yakin. “Faz tahu tak yang bunga lavender ni banyak khasiatnya tau. Boleh buat minyak wangi, teh, sabun, macam-macam lagilah.”
            “Akak ni macam minat sangat dengan bunga ni.”
            “Hehe...” Ana Syakila tersenyum lalu memandang bunga yang dipegangnya. “Dulu waktu akak kecil-kecil, akak ada masalah susah nak tidur. Tapi bila mummy akak bakar minyak aromaterapi lavender barulah akak boleh tidur. Dulu akak tak tahu kenapa akak suka sangat bunga lavender tapi sekarang akak dah faham. Sebab bau lavender ni sama macam bau minyak wangi mama akak...” Kata-kata gadis itu terhenti seketika membuatkan Ain Fazira mengalihkan pandangannya ke arah gadis itu. Anak kecil itu tidak dapat membaca riak wajah Ana Syakila yang penuh dengan makna tersirat.
            Ana Syakila melepaskan pandangannya ke angkasa. “Faz, tahu tak? Lavender ni melambangkan cinta dan kesetiaan. Dua perkara yang akak paling inginkan dalam hidup ni. Sebuah cinta yang tidak akan berpaling dari akak. Yang sentiasa setia di sisi akak.” Ain Fazira mengerutkan keningnya, tidak mengerti kata-kata Ana Syakila. 
            Ana Syakila tersenyum lalu mengusap rambut Ain Fazira. “Dan akak percaya suatu hari nanti Allah akan mengurniakan cinta itu kepada akak, Insyaallah.”
           
            Ain Fazira tersenyum sendirian lalu melepaskan pandangannya ke angkasa yang luas. Dia seolah-olah terlihat senyuman kakak angkatnya yang dia sayangi di sebalik langit yang membiru itu.
            “Biru langit hari ni.”
            Ain Fazira terkejut. Wanita muda itu berpaling ke luar taman di mana dia terdengar suara seorang lelaki yang amat dia kenali. Dia seakan tidak mempercayai matanya. Kelihatan Luqman berdiri berdekatan dengan taman tersebut dengan riak wajah yang tidak percaya.
            “Apa yang Faz buat kat sini?” Soal lelaki itu.

***

Ab, abang Luqman! Apa yang abang buat dekat sini?” Soal Ain Fazira, terlupa untuk menjawab soalan Luqman. Dia benar-benar tidak menyangka akan bertemu dengan Luqman di sini pada hari ini. Ummi memberitahu bahawa lelaki hanya akan datang menziarahi rumah anak yatim itu setiap hujung bulan.
            “Abang...jenguk Ummi. Dah lama tak singgah sini sebab sibuk.”
            “Ooo...” Balas Ain Fazira, janggal. ‘Kak Syida ni, tak reti ke nak SMS aku untuk beritahu yang abang Luqman datang.’ Bisik hatinya, geram. Kakak angkatnya itu bukan tidak mengetahui yang dia tidak boleh berdepan dengan lelaki itu.
            Mereka membisu buat seketika. Ain Fazira baru perasan yang ini merupakan kali pertama mereka berjumpa berdua sahaja selepas kepulangannya dari luar negara. Entah kenapa apabila berdepan dengan lelaki itu dia terasa seperti tidak keruan. Padahal dulu mereka sangat akrab.  Malah Luqman sudah dianggap seperti abang kandungnya sendiri.
            “Tentang semalam, Faz tak apa-apa?” Soal Luqman, tidak tahu untuk berkata apa.
            “Faz okey.” Jawab Ain Fazira, pendek.
            Luqman memandang wajah Ain Fazira yang tidak terkesan dijadikan alat untuk menjaga nama baik keluarga Dato’ Farid Badrul. Sedari dulu lagi wanita muda itu suka memendam perasaannya dan menyimpan lukanya di dalam hati. Terbit rasa kasihan di hati kecil lelaki itu. Kalau dahulu arwah Ana Syakila menjadi tempat untuk Ain Fazira mengadu lalu kini kepada siapakah wanita muda itu meluahkan isi hatinya? Persoalan itu dibiarkan bermain di sudut hatinya. Jujur dia masih belum mampu untuk berdepan apatah lagi bergaul mesra dengan orang yang menerima jantung milik tunangnya.
            “Abang jangan risau.” Ujar Ain Fazira, tiba-tiba. Bibirnya mengukir senyuman yang jujur. Wanita muda itu mengerti kesukaran yang dihadapi oleh lelaki itu ketika berdepan dengannya.
            “Saya dah janji dengan papa, yang saya akan bantu keluarga papa selagi papa perlukan saya. Walaupun mereka anggap saya ni macam ‘parasit’ yang patut dihapuskan.” Ujar wanita muda itu lagi dengan nada yang tabah. Luqman masih lagi membisu tanpa sebarang kata.
            “Saya pergi dulu.” Ujar Ain Fazira, tidak mahu kehadirannya membuatkan Luqman berasa lebih tidak selesa.
            “Bukan parasit...”
            “Emm?” Ain Fazira berpaling semula ke arah Luqman. Dia tidak dapat mendengar dengan jelas kata-kata lelaki itu.
            “Faz bukan parasit.” Tegas Luqman. “Cuma, kehadiran Faz menghidupkan kembali segala memori bersama ‘dia’. Dan memori itu memberi peringatan yang ‘dia’ tak akan kembali lagi. Setiap kali memori itu muncul, rasa sakit dan pedih kehilangan ‘dia’ akan turut muncul...” Jelas lelaki itu, meluahkan isi hatinya yang sekian lama terpendam. Dia tidak pernah menceritakan kelukaannya kepada sesiapa pun setakat ini. Segalanya dipendam demi melupakan kepahitan yang menghimpit jiwa itu.
            Ain Fazira tersenyum, menghargai kejujuran Luqman. “Tak apa. Kalau dengan membenci Faz dapat mengurangkan kepedihan abang, Faz sanggup dibenci seumur hidup. Faz cuma berharap yang suatu hari nanti memori bersama arwah kak Sya akan menjadi peringatan kepada abang bahawa arwah, sepanjang hidupnya, mencintai abang dengan tulus.”
            Ain Fazira melepaskan pandangan ke arah rimbunan bunga lavender yang membentuk emoticon smiley itu. “Abang nak tahu, kenapa saya rapat dengan arwah kak Sya? Kerana saya tahu hanya arwah yang benar-benar jujur apabila dia kata yang dia memahami perasaan saya. Sebagaimana saya menyembunyikan kesedihan dan kesunyian saya di sebalik kedinginan saya, sebegitulah kak Sya menyembunyikan kesedihan dan kesunyiannya di sebalik senyumannya. Sepanjang masa kak Sya berusaha untuk terus tersenyum demi mengembirakan orang lain.”
            Wanita muda itu kemudian berpaling ke arah Luqman. “Tapi sejak abang hadir, buat pertama kalinya, arwah kak Sya tersenyum demi dirinya sendiri. Arwah tersenyum kerana dia bahagia. Abang menyedarkan dia banyak perkara, yang dia tak perlu berusaha untuk mencari kebahagian, malahan kebahagian itu akan datang sendiri dengan izin Allah. Dan abang telah melunaskan impian arwah kak Sya, dengan cinta dan kesetiaan abang. Abang, bagi arwah, adalah cinta pertama dan terakhirnya.” Ain Fazira mengakhiri kata-katanya dengan mengukir senyuman beserta dengan matanya yang merah dan berair. Dia sering kali sukar untuk mengawal perasaan apabila berbicara tentang Ana Syakila yang amat dia sayangi.
            Luqman terpempan mendengar kata-kata Ain Fazira, ibarat sebilah pisau yang tajam menusuk ke kalbunya. Dia mulai sedar yang selama ini dia sendiri yang telah membina penjara di dalam hatinya dengan menganggap semua kenangan bersama Ana Syakila adalah satu penyeksaan. Sedangkan dia sepatutnya bersyukur kerana dipertemukan dengan tunangnya itu di mana dia mempelajari apa itu cinta walau cuma seketika.
             “Terima kasih, Faz.” Buat pertama kalinya, Luqman tersenyum ke arah Ain Fazira dengan ikhlas.Tiga patah perkataan itu sudah cukup untuk membuatkan Ain Fazira tersenyum gembira. Gembira kerana seseorang yang dianggap seperti abang telah menerimanya kembali.
            Ain Fazira melihat sahaja kelibat lelaki itu melangkah pergi meninggalkannya dengan hati yang berbunga. Dia terkenangkan arwah Ana Syakila. Apabila melihat Luqman, dia dapat melihat impian kakak angkatnya untuk memiliki cinta yang sejati kesampaian. Namun kini, lelaki itu harus keluar dari kenangan lalu untuk mendapat kebahagiannya dan dia berjanji pada dirinya yang dia akan memastikan perkara itu berlaku.


***
p.s dari Afeena: 

Salam semua!! ^_^ 
Terima kasih semua yang setia baca FYI,DTS! ni. Sokongan kamu semua buat Feena berkobar-kobar nak siapkan manuskrip FYI,DTS! insyaallah.http://matcuoi.com 
Bab kali ni menceritakan lebih lanjut tentang Ana Syakila dan hubungan dengan Ain Fazira. Ana Syakila ni ala-ala guardian angel Ain Fazira. Bab kali ni agak sentimental sikit dan rasa kasihan dengan watak Luqman yang setia dengan cintanya walaupun Ana Syakila dah meninggal lebih tujuh tahunhttp://matcuoi.com (kalaulah boleh dapat suami macam ni...hehe) Insyallah, nanti Feena akan update lagi bab baru, kali ni lebih banyak scene tentang keluarga Dato' Farid Badrul.

Luv U all!!!http://matcuoi.com

8 comments: