Tuesday 24 November 2015

WANTED: My Runaway Bride Bab 1

BAB 1

"APA dia? Si Kamal tu tertidur lagi?!"

Satu jeritan kedengaran dari rumah teres dua tingkat yang menjadi markas operasi dan pembuatan kek cawan jenama Cik Cupcake. Qistina mengetap bibirnya, seakan tidak dapat mempercayai yang dia terpaksa menghadapi perkara yang sama. Liya berdiri menikus, takut untuk menyampuk kerana bimbang akan menaikkan lagi api kemarahan majikannya itu.

"Budak bertuah! Kan akak dah beritahu yang kita ada banyak delivery nak kena buat hari ni?" marah Qistina lagi. Kalau bukan mengenangkan yang Kamal itu adik sepupunya, sudah lama dia berhentikan lelaki itu. Sudah banyak kali Kamal diperingatkan agar datang tepat pada masanya tetapi lelaki itu tetap bersikap cuai dan malas.

"Habis tu macam mana, Kak Qis?" soal Liya.

Qistina terdiam sebentar sebelum melepaskan keluhan yang panjang. "Macam mana lagi? Terpaksalah akak jadi pemandu van hari ni. Liya tunggu apa lagi? Cepatlah bawa masuk cupcake kita ke dalam van. Kita sepatutnya kena hantar pesanan yang pertama pukul sepuluh pagi. Sekarang ni pukul sembilan dah."




Qistina memandu van mini yang ditampal dengan pelekat berwarna merah jambu, 'Cik Cupcake' ke sebuah balai raya di mana majlis persandingan akan diadakan. Nasib baiklah mereka sempat sampai tepat pada masanya. Qistina dan Liya mengangkat empat dulang berisi tiga puluh biji kek cawan setiap satu sebagai salah satu hidangan pencuci mulut untuk majlis persandingan tersebut.

Qistina kemudian memulakan tugasnya untuk menyusun kek cawan red velvet pada meja yang akan dijadikan sebagai penganti kek kahwin. Pengantin perempuan sendiri yang mencadangkan agar kek kahwin mereka digantikan dengan kek cawan bagi memberikan kelainan.

Sebanyak dua puluh kek cawan red velvet khas di susun pada 'stand' bertingkat tiga. Setiap kek cawan itu dihiasi cream susu berwarna putih dan gula-gula berbentuk hati berwarna merah. Pada 'stand' di tingkat atas pula, Qistina meletakkan kek red velvet bersaiz kecil yang dihias dengan fondant berwarna putih dan tiga kuntum bunga ros segar berwarna merah hati.


"Fuh, siap pun!" Ujar Qistina sambil mengelap peluhnya. Penat rasanya apabila terpaksa berkejar dengan masa. Dia berharap agar pelanggan merangkap rakannya yang menempah kek cawan tersebut akan berasa puas hati dengan hasil kerjanya.

"Qis!"

Qistina berpaling ke arah suara yang memanggilnya.

"Najla!" Qistina bersalaman dan mencium kedua belah pipi wanita yang memakai baju kebaya moden berwarna biru firus itu. Najla terpegun melihat hasil kerja Qistina yang merupakan rakan kepada kakaknya yang cuma beza setahun darinya.

"Wah, cantiknya! You ni memang kreatif betullah." puji Najla.

"Ni cantik je. Tak tahulah sedap ke tak?" seloroh Qistina.

"Eh, kalau tak sedap tak akanlah my sister nak tempah dengan you." balas Najla pula.

"Ucapkan selamat pengantin baru dekat Jihan, okey. Eh, dah jadi puan, kan." Qistina mentertawakan kealpaannya. Rakannya, Nurjihan itu sudah pun sah bergelar isteri semalam.

"Eh, kenapa? You tak dapat hadir ke majlis persandingan akak I ke?"

"Tak bolehlah, Najla. Saya kena pergi hantar tempahan. Almaklumlah, waktu cuti sekolah ni memang ramai orang buat kerja kahwin. Jadi banyaklah rezeki saya, Najla." balas Qistina. Nasib baiklah, dia berkesempatan untuk mengikuti majlis pernikahan Jihan semalam.

"Hai, tak dapat I nak kenalkan you dengan  kawan I." Najla memuncungkan bibirnya. Walaupun wanita itu sudah berusia dua puluh tujuh tahun tetapi sifat keanak-anakkan masih belum luput. Yalah, wanita berambut coklat itu merupakan anak bongsu, jadi sering dimanja oleh ahli keluarganya walaupun sudah dewasa.

"Oh, boyfriend Najla yang sama-sama belajar di Melbourne ke?" soal Qistina.

"Bukan boyfriendlah tapi kawan yang pada masa yang sama jantinanya adalah lelaki."

Qistina tergelak kecil mendengar kata-kata Najla. Daripada riak dan gelagat wanita berambut coklat itu, dia dapat mengagak yang Najla sudah terkena 'panahan arjuna'.

"Speak of the devil." Najla pergi mendapatkan seorang lelaki yang berpakaian baju melayu lengkap berwarna biru yang sedondon dengan wanita itu. Lelaki itu pasti bertindak sebagai pengapit lelaki. Najla pernah bercerita yang lelaki itu adalah teman baik abang iparnya. Lelaki itu merupakan senior Najla yang sama-sama mengambil Ijazah Rekaan Dalaman dengan Kepujian. Namun, Qistina tidak pula berkesempatan untuk mengetahui nama lelaki itu.

"Qayyum, perkenalkan ni Raisya Qistina, kawan seuniversiti kak Jihan waktu degree dulu. Qis, ni Muhammad Qayyum, senior I kat RMIT dulu." ujar Najla sambil menunjuk ke arah lelaki berkulit putih dan bercermin mata itu. Qistina dan Qayyum bertentang mata buat seketika. Masing-masing terasa seperti terkena kejutan elektrik.



Qistina terundur ke belakang kerana tidak mempercayai apa yang dilihatnya. Dia terlanggar meja di belakangnya membuatkan tubuhnya terjatuh ke lantai.

"Kak Qis!"

"Qis, are you okay?"

Liya dan Najla membantu Qistina bangun.

"Tak ada apa-apalah." Qistina berkata sambil tersenyum kelat. Pada masa yang sama, dia memandang ke arah Qayyum bagi memastikan yang dia tidak tersalah tengok. Lelaki itu hanya menunjukkan riak wajah bersahaja dan tidak mempedulikan keadaannya. "Tak luka pun. Maaflah Najla. Saya, saya kena pergi dulu."

Najla memandang Qistina yang berjalan seperti lipas kudung sambil diikuti oleh pekerjanya. Dia kemudian memandang ke arah Qayyum yang tidak lepas-lepas memandang Qistina.

"You dengan Qis pernah jumpa ke?" soal Najla, dengan perasaan cemburu yang masih boleh dikawal. Dia tidak mahulah dikatakan cemburu buta pula.

"Tak adalah." Qayyum menjawab sebelum tersenyum penuh makna. 'Mana lagi kau nak lari, Raisya Qistina?'




***   ***   ***

Nota Feena:

Salam sekali lagi ^^
Hah, macam mana? Okey tak bab 1 untuk cerita WANTED: My Runaway Bride ni? Yang pasti sekarang, Qistina adalah watak heroin dalam cerita ni. Tapi siapa pula Qayyum ni? Apa hubungan dia dengan Qistina. Nak tahu, nantikan sambungannya, insyallah. Semoga bertemu lagi, pembaca kesayanganku.



No comments:

Post a Comment