Friday 2 May 2014

FYI, Dia Tunang Saya! 12

Bab 12

“Kalau saya terpaksa memilih antara abang dengan papa...saya, akan pilih papa!”
             Mata Amir Fikri terbeliak mendengar jawapan yang terkeluar daripada mulut bekas tunangnya itu. Tubuhnya terasa seperti terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi. Lelaki itu terasa seperti dia berada di dalam sebuah mimpi yang buruk.
            Sekali lagi dia memandang wanita yang merupakan insan pertama yang berjaya mengetuk pintu hatinya itu. Jika dulu ketegasan dan kematangan wanita muda yang berusia dua puluh dua tahun itu memikat hatinya tetapi kini dia terasa seperti dikhianati oleh satu-satunya wanita yang dia sayangi.
            Apabila dia terdengar perbualan antara Datuk Farid Badrul dan Datin Melisa akan pertemuan ayahnya itu dengan kekasih hatinya di Rantaian Kaseh, dia terus ke rumah anak yatim itu untuk bertemu dengan wanita itu. Menurut kiraannya, kepulangan Ain Fazira ke Malaysia adalah untuk memujuknya agar membatalkan perkahwinannya dengan Shirin yang akan berlangsung hari ini. Alih-alih, wanita itu tega menyuruhnya kembali ke rumah dan meneruskan perkahwinannya.
            Alasan yang diberikan wanita itu mudah, tidak mahu dia menjadi manusia yang tidak bertanggungjawab. Dia tidak menyangka yang wanita itu tidak mengerti bahawa dia juga merupakan mangsa keadaan. Bahawa dia teraniaya walaupun dia tidak tahu siapa yang menjeratnya dengan Shirin ke hotel sehingga mereka ditemui dalam keadaan tanpa seurat benang.
            Malah kesanggupannya untuk meninggalkan kedudukan dan jawatannya sebagai CEO KZ Perfumes dipandang sepi oleh wanita itu. Seolah-olah pengorbannya tidak ada sebarang makna pada wanita itu.
            “Jadi demi papa, Faz sanggup tengok abang kahwin dengan orang lain? Faz sanggup biarkan abang dicemuh orang sebab kahwin dengan kekasih adik abang sendiri?”
            “Kenapa tidak?” Balas Ain Fazira dengan menunjukkan raut wajah bersahaja. “Sebab saya bertunang dengan abang dulu pun, sebab papa...”
           
“Abang,”
            Panggilan Shirin menarik Amir Fikri semula ke alam nyata. Dia memandang persekitarannya yang dipenuhi oleh orang ramai yang berbusana indah dan moden. Alunan muzik klasik mengembalikan ingatannya bahawa dia berada di majlis hari jadi Datuk Farid Badrul yang ke-60.

            Rasa jelek dan menyampah menguasai dirinya semula. Dia tidak menyenangi keputusan ayah dan ibunya mengadakan majlis tersebut secara gilang-gemilang demi ‘membersihkan’ imej keluarga mereka daripada skandal yang tercetus baru-baru. Malahan Walaupun dia sedar bahawa dialah punca perkara itu berlaku tetapi jiwanya memberontak kerana terpaksa hidup dalam kepura-puraan semata-mata demi menjaga nama baik keluarga.
            “Abang nak minum ke? Rin boleh ambilkan,” ujar Shirin lagi. Dia memandang wajah isterinya yang kelihatan anggun berbusana muslimah longgar berwarna biru turqoise. Perut wanita itu kini sudah mula menampakkan isi.
            “Aku dengar, kau pergi jumpa Dayana,” balasnya dengan tidak semena-mena. Wajah isterinya berubah menjadi pucat. Dia tersengih di dalam hati mengenangkan rengekan Dayana yang mengadu tentang bagaimana Shirin mengugut agar wanita itu meninggalkannya. Apa yang mengagumkan, terkeluar nama Ain Fazira dalam perkelahian mereka.
            “Kau tak perlu risau, aku tak terfikir pun nak jadikan Dayana sebagai madu kau. Dan aku dah janji tak akan ceraikan kau sekali kau tak minta sendiri. Lebih baik fikirkan tentang kesihatan kandungan kau daripada buat perkara yang bukan-bukan.”
            “Abang...”
            “Aku dah cakap kan, kesalahan yang aku paling benci adalah apabila dikhianati...” Bisiknya ke telinga Shirin sebelum meninggalkan isterinya terkulat-kulat di meja makan tersebut.
            Sejak kepulangannya dari Maldives, isterinya itu bersungguh-sungguh untuk mengambil hatinya apatah lagi setelah mereka berpindah semula ke rumah agam keluarga ayahnya. Namun dia belum bersedia untuk memaafkan ‘kesalahan’ isterinya itu. Cukuplah dua kali dia dikhianati selepas dia membuka hatinya kepada perempuan. Kini tidak lagi.
            Tiba-tiba giginya diketap keras. Matanya mencerun ke arah pintu masuk dewan hotel yang menjadi tempat berlangsungnya majlis hari jadi ayahnya itu. Dua kelibat manusia yang paling dia tidak senangi berjalan seiringan masuk ke dalam dewan.
            Ain Fazira kelihatan ayu memakai baju kurung moden berwarna ungu manggis. Wanita itu sememangnya menyukai warna bertona gelap. Manakala, Amirul Syakir yang memakai tuxedo hitam sepertinya kelihatan seperti memujuk wanita itu. Kelakuan mereka yang seperti pasangan kekasih yang sedang bergaduh manja membuatkan hatinya mendidih. Terbit niat jahat untuk memburukkan hubungan mereka berdua di dalam fikirannya
           
***

“Tengok tu, majlis dah mula dah. Tak sempat nak jumpa papa awal-awal,” rungut Ain Fazira ke arah Amirul Syakir yang berwajah selamba a.k.a. muka sepuluh sen.      
            “Alah, kita ni bukan watak utama pun. Kejap lagi kita jumpalah dengan papa. Tak ke mana pun papa tu.” Ujar Amirul Syakir dengan nada tidak bersalah.
            Sakit jiwa Ain Fazira apabila mendengar jawapan tersebut. Dia teringin sekali untuk memiat telinga abang angkatnya kalau bukan kerana terdapat batasan dalam pergaulan lelaki dan perempuan.
            “Awak ni kan!” Gumam Ain Fazira, berusaha mengawal suaranya daripada didengari oleh para tetamu. Matanya melilau bagi memastikan orang tidak melihat pergaduhan mereka. “Kalau bukan sebab awak mengada-gada sangat suruh saya tunggu kat pondok pengawal belakang yang jauh tu, kita tak akan terlambat tau. Apasal awak takut sangat saya tahu kondo awak kat blok mana? Bukannya saya nak terjah pun!”
            “Suka hati sayalah!” Balas Amirul Syakir separuh menjerit. “Saya ada hak nak jaga privasi hidup saya....”
            Ain Fazira sekadar mencebik bibirnya, sudah muak untuk mendengar alasan lelaki itu yang langsung tidak munasabah. Dia lantas mengangkat kaki, merasakan lebih baik berbual dengan orang bawahannya yang turut dijemput hadir berbanding dengan ‘orang’ itu.
            Dalam ramai-ramai orang, Ain Fazira ternampak Luqman yang kelihatan menonjol dengan memakai working suit. Lelaki itu kelihatan seperti tidak bersesuaian dengan suasana dewan hotel yang mewah dan berprestij.
            “Assalamualaikum, tengah fikir apa tu?” Sapanya kepada Luqman yang berwajah tidak keruan.
            “Faz?!” Wajah lelaki berkaca mata itu mula menampakkan sinar. “Nasib baik Faz ada juga kat function ni.”
            “Apa yang abang pakai ni?”
            “Oh,” Luqman mengaru-garu pipinya yang tidak gatal. “Hehe.. abang baru lepas habis meeting. Kalau tak disebabkan desakan Dato’ abang mungkin tak datang.”
            ‘Workaholic...’ Bisik hati kecilnya dengan nada yang sinis tapi tidak berniat jahat. Mereka berbual seketika, bercerita tentang keadaan di Rantaian Qaseh dan rancangan untuk melawat Kak Syida yang sudah hampir tarikh bersalinnya.
            Semasa mereka berbual, mata Ain Fazira mengesan Shirin yang duduk berseorangan di meja utama di saat ahli keluarganya yang lain sibuk melayan tetamu. Ain Fazira melihat kakak ipar angkatnya menuju ke tandas dengan wajah yang pucat dan tangan menutup mulut. Dia mengagak yang wanita itu mengalami ‘morning sickness’.
            “Abang, Faz minta diri dulu, ek.” Ujar Ain Fazira. Luqman mengangguk perlahan.
            Ain Fazira memasuki tandas di mana Shirin sedang menundukkan kepalanya ke singki sambil memuntahkan isi perutnyanya. Kasihan pula dia melihat keadaan wanita itu. Ain Fazira menghulurkan tisu pada wanita yang bertudung likup itu.
            “Terima kasih,” ujar Shirin yang masih belum hilang rasa mualnya. Apabila melihat wajah Ain Fazira, matanya terus terbeliak akibat terkejut.
            “Akak ada bawa minyak angin tak?” Soal Ain Fazira, berlagak seperti biasa.
            “Ad, ada, kat dalam beg.” Ain Fazira segera mengambil minyak angin cap kapak lalu diberikan kepada kakak ipar angkatnya itu. Dia kemudian mendudukan wanita itu ke kerusi yang tersedia di dalam tandas yang serba mewah itu.
            “Maaf...”
            “Kan saya dah cakap akak tak perlu minta maaf dengan saya. Akak kan kakak ipar angkat saya.” Ujar Ain Fazira. Kata-katanya membuatkan Shirin terasa geli hati memikirkan hubungan mereka yang agak rumit.
            Namun wajahnya kembali keruh apabila mengingati peristiwa hari itu. Dia berasa menyesal dan malu untuk berhadapan dengan wanita itu.
            “Fazira...pasal hari tu...”
            “Kenapa? Akak nak minta maaf lagi?” Tebak Ain Fazira sambil tersengih. Merah padam Shirin menahan malu. “Jangan takut nak mengaku perasaan sendiri. Akak sayangkan abang Fikri, kan? Kalau betul, fight for him!” Ain Fazira memberikan kata-kata semangat kepada kakak ipar angkatnya sebelum meminta diri.
            Wajah Ain Fazira menjadi keruh apabila keluar daripada tandas. Dia mengeluh perlahan, mengingati tentang pertemuan terakhirnya dengan Amir Fikri tiga tahun yang lalu sebelum dia pergi ke London. Dia telah melukai lelaki itu sehingga lelaki itu berubah menjadi lebih keras dan berdendam. Andai perkahwinan antara Amir Fikri dan Shirin tidak berkekalan, apakah dia mampu menampung rasa bersalahnya terhadap lelaki itu?
            Ain Fazira menuju ke kolam renang hotel yang terletak di luar dewan untuk mengambil angin. Dia terlihat kelibat Amir Fikri dan Amirul Syakir yang duduk di salah sebuah meja di tepi kolam renang itu. Pada masa yang sama, Amir Fikri yang perasan akan kehadirannya tersenyum penuh makna ke arahnya. Lelaki itu lantas bangun dan berbisik sesuatu kepada Amirul Syakir yang membuatkan wajah lelaki itu berubah mendadak.
            Wajah Ain Fazira pucat lesi. ‘Abang Syakir dah tahu...”

***

“Kau tak nak tegur abang kau ni?”
            Langkah Amirul Syakir terhenti. Dia berpaling lalu melihat Amir Fikri memandangnya sambil tersengih. Entah bagaimana abangnya itu dapat mengesan kehadirannya di hadapan pintu yang menghubungkan antara dewan dengan kolam renang hotel tersebut. Terbantut hasratnya untuk pergi ke tandas.


            Buat seketika matanya menerawang jauh, menimbang buruk baik sekiranya dia berbicara dengan abang kandungnya itu. Namun apabila dia teringat balik kata-kata Ain Fazira sewaktu di atas taman bangunan syarikat, dia merasakan ini adalah peluang baik untuk dia menyatakan bahawa dia tidak mempunyai apa-apa perasaan lagi terhadap Shirin melainkan rasa sayangnya sebagai adik ipar wanita itu. Dan dia tidak akan sekali-kali lagi melampaui batasannya sebagai adik ipar kepada wanita itu.
            “Rokok?” Tawar Amir Fikri. Dia sekadar mengeleng perlahan. Sudah hampir tiga tahun dia berhenti daripada menghisap rokok setelah menerima teguran daripada ustaz di kampung tempat dia ‘bersembunyi’ selepas perkahwinan Amir Fikri dan Shirin.
            Amirul Syakir sekadar memandang Amir Fikri tersengih lalu menghembus asap rokok dari mulutnya. Dia berasa pelik melihat kelakuan abangnya itu yang bukan seperti kebiasaannya. Tiada aura kesempurnaan dan karisma yang sangat dia cemburui.
            “Lihatlah orang kat dalam tu, bergelak ketawa, sedangkan mereka tahu yang keluarga kita masih ditimpa masalah.” Ujar Amir Fikri, menunjuk ke arah para tetamu yang boleh dilihat melalui dinding kaca lut sinar dewan tersebut.
            “Masalah yang kau timpakan pada keluarga kita.” Balas Amirul Syakir sambil memeluk tubuh dengan wajah yang kelat.
            “Yang berpunca daripada kau.” Balas Amir Fikri lagi, pendek tetapi berbisa.
            Amirul Syakir mengetap bibirnya. Menahan marah. Dia tidak mahu sikapnya yang suka melulu merosakkan majlis hari jadi tersebut.
            “Hei, pernah tak kau terfikit... Kalau tiga tahun yang lalu ‘perkara’ tu tak terjadi pasti kita tak akan bergaduh bermati-matian seperti sekarang. Kita pasti akan bahagia dengan pasangan masing-masing. Tapi takdir telah permainkan kita. Tengoklah apa yang terjadi pada kita sekarang,” keluh Amir Fikri lalu menghembuskan asap rokok dari mulutnya.
            Amirul Syakir terdiam. Entah kenapa dia teringat kembali kata-kata Ain Fazira sewaktu di hospital dulu yang membekas di hatinya.

“Encik, kalau kita tak ditimpa masalah, kita tak akan faham erti syukur. Bersyukur dengan apa yang kita ada. Kehidupan kita. Nyawa kita. Setiap helaan nafas yang dihirup adalah belas ihsan dan rahmat daripada-Nya. Jadi, encik jangan mengeluh. Bersabarlah dan Insyallah, esok akan menjadi lebih baik dari hari ini sebagaimana hari ini menjadi lebih baik dari semalam. Bersyukurlah kita masih dapat hidup, jangan sampai apabila nikmat itu ditarik balik baru nak menyesal.”

            Dia menarik nafas panjang lalu memberikan senyuman yang kelat kepada abangnya. “Jangan salahkan takdir lagi, abang. Jodoh abang dengan Kak Rin dah tertulis di Luh Mahfuz. Dan Kir percaya abang yang Kir kenal masih ada lagi di dalam diri abang. Kir janji Kir tak akan masuk campur dalam urusan rumah tangga abang lagi. Lupakan segala yang telah berlaku dan mara ke hadapan dengan Kak Rin dan anak abang.”
            “Seperti mana kau dengan Faz? Kau dah jatuh cinta dengan dia?” tebak Amir Fikri membuatkan Amirul Syakir hampir terbangun. Merah padam muka lelaki itu menahan malu.
            Amir Fikri tergelak besar seolah-olah mengejek kelakuan adiknya yang seperti remaja yang malu-malu kucing bila ditanya tentang cinta. Namun di sebalik hilai ketawanya, terpancar satu sinar di matanya yang tidak dapat dikenal pasti oleh Amirul Syakir.
            “Aku tak tahulah sama ada kau ni lurus atau bendul. Tak,tak, mungkin kedua-duanya sekali,” ejek Amir Fikri yang mengundang kembali kemarahan di hati Amirul Syakir.
            “Apa maksud kau?” Bentak Amirul Syakir dengan kasar. Hilang segala niatnya untuk berbaik semula dengan abangnya itu.
            “Biar aku bagi nasihat pada kau, ‘Kir’. Baik kau berhati-hati dengan perempuan tu. Sebab Ain Fazira, merupakan perempuan yang paling kejam dan hipokrit yang aku pernah kenali!”
            Kenyataan Amir Fikri membuatkan kening Amirul Syakir berkerut, ingin mengetahui apa dendam yang tersimpan antara abangnya dengan Ain Fazira. Sebelum ini pun, dia dapat melihat bagaimana dinginnya suasana ketika mereka berdua bertemu. Seolah-olah mereka saling membenci antara satu sama lain.
            “Kau tak rasa pelik, macam mana mummy boleh tahu plan kau untuk larikan Shirin tiga tahun yang lepas?” Soalan yang diutarakan oleh Amir Fikri mengejutkan Amirul Syakir. Selama hampir tiga tahun dia mencari jawapan bagaimana rancangannya boleh boleh diketahui oleh Datin Melisa lalu menyebabkan perkahwinan antara abangnya dengan Shirin tetap berlangsung. Aneh, bagaimana abang kandungnya itu boleh mengetahui rancangannya yang hanya dia dan Datin Melisa sahaja yang tahu.
            “Macam mana kau tahu? Kau ke yang beritahu mummy?” Tuduhnya.
            Amir Fikri sekadar mengeleng sambil tersenyum mengejek. Abangnya itu kemudian bangun lalu memegang bahunya. Pada masa yang sama mereka melihat kelibat Ain Fazira yang sedang menghampiri mereka.
            Amir Fikri lantas berbisik di telingannya. “Orang yang bertanggungjawab untuk beritahu mummy tentang plan kau tak lain tak bukan adalah....Ain Fazira...”


***
p.s:
Salam semua! http://eemoticons.net
Hohohoho...akhirnya kita tiba juga ke bab yang akan merungkaikan peristiwa yang berlaku semasa prolog. Sorry, bagi yang menunggu lama untuk sambungan cerita ni. http://eemoticons.netFeena sibuk dengan aktiviti di universiti. Komen daripada korang jugalah yang membantu Feena untuk menyiapkan bab terbaru ni. Tapi penantian anda semua berbaloi, kan? Apa pendapat korang tentang bab yang terbaru ni. Faz ni sebenarnya baik ke jahat? Apa reaksi Amirul Syakir selepas dapat tahu perkara sebenar? 

Sila berikan komen untuk menaikkan semangat Feena untuk tulis bab yang seterusnya. Luv uolls!http://eemoticons.net

2 comments:

  1. akhirnya dpt jugk bce bab 12... lepas ni jgn lambt2 msukkan smbngn strusnya. seksa diri nk menunggu..he3.. btw~crita yg penuh tanda tnya...BEST

    ReplyDelete