Friday 23 October 2015

Isyarat 143!


1 Ayat, 3 Perkataan, 8 Huruf

DUNIA tidak pernah mempedulikan kehadiranku. Aku ibarat rumput di tepi jalan. Tidak ada yang istimewa tentang diriku untuk membuatkan orang memandangku buat kali kedua. Namun aku menyukai keadaan itu. Aku berharap yang kehidupanku akan kekal tanpa sebarang masalah atau konflik yang menyesakkan dada. Biarlah segalanya berlalu seperti biasa setiap hari. Walaupun tidak seronok dan membosankan tetapi lebih selamat dan aku tidak perlu takut kecewa jika apa yang aku harapkan tidak menjadi.

Tapi kenapa?

Kenapa seseorang muncul untuk merosakkan rutin harianku? Seseorang yang muncul tanpa sebarang isyarat dan mampu mengucar-kacirkan hidupku tidak sampai sesaat aku dipertemukan. Kenapalah skuterku boleh rosak waktu itu? Kenapalah aku pergi menunggu bas di stesen bas tepi taman itu? 
            
Aku mengatup mataku. Kenangan tiga minggu yang lalu terbayang kembali di benak fikiranku.

"DOUBLE flying kick!!"
            
Tubuhku terasa seperti dihempap dengan benda yang berat tetapi lembut. Aku berusaha untuk memalingkan tubuhku untuk melihat apa yang menghempapku. Kedengaran bunyi degupan jantung serta bunyi erangan yang garau. Rupa-rupanya aku telah dihempap oleh seorang lelaki. Lelaki yang bertubuh kurus kering itu, bergegas bangun sampai sanggup memijak tubuhku. Aku yang masih tidak tahu hujung pangkal cerita terpaksa menahan kesakitan.
    
       
 "Hoi, mana kau nak lari, hah?" Pekik seorang perempuan tidak jauh dariku. Perempuan muda yang berselendang polka dot itu kemudian menanggalkan sebelah kasut tinggi yang aku percayai jenama stiletto berwarna merah. Perempuan itu kemudian membaling kasut itu ke arah lelaki yang menghempapku tadi dan tepat mengenai sasaran. Lelaki itu jatuh tersungkur sekali lagi. Kali ini, lelaki itu ditangkap oleh beberapa orang yang turut berada di laluan pejalan kaki tersebut.

Perempuan itu datang lalu memukul kepala lelaki itu beberapa kali dengan kasut tingginya. "Kau ni tak ada hati perut ke? Sanggup kau cuba nak ragut perempuan tua yang lemah. Kau ingat kau boleh hidup senang ke?"

"Sabar, cik. Sabar. Kita serahkan kepada pihak polis." Ujar salah seorang lelaki yang telah mengunci kedua belah peragut tersebut. Kelihatan lelaki itu berasa takut melihat 'keganasan' perempuan tersebut.

Perempuan itu bangun sambil menghela nafas beberapa kali. Wajahnya jelas masih tidak berpuas hati dengan peragut tersebut. "Baik kau belajar bertaubat, hem!" Ugutnya sebelum berpaling ke arahku. Aku ingatkan yang dia ingin datang kepadaku dan bertanyakan tentang kecederaanku. Alih-alih perempuan itu melepasi aku lalu mendekati seorang mak cik yang duduk di bangku di stesen bas tersebut.

"Mak cik, mak cik tak apa-apa?" Ujar perempuan itu kepada mak cik tersebut. Rupa-rupanya beg tangan mak cik yang telah diragut.

"Tak ada apa-apa, nak. Luka sikit saja. Berani betul anak ni. Kuat pula tu." Ujar mak cik dengan nada yang perlahan dan lemah. Mungkin kerana masih terkejut dengan apa yang berlaku.

"Hehe...biasa saja mak cik. Saya belajar taekwondo dengan akak saya. Zaman sekarang ni perempuan kena belajar mempertahankan diri sebab malang tak berbau." Balas perempuan itu dengan penuh bersemangat. Patutlah...pemegang tali pinggang taekwondo rupanya. Buat pertama kalinya aku terpegun melihat seorang perempuan. Aku tidak pernah melihat perempuan berperangai sebegitu. Berani dan penuh dengan semangat.

"Emm?"

Aku mengalihkan pandangannya, tidak mahu dilihat sedang merenung perempuan itu sedari tadi. Aku kemudian melihat sebuah kereta polis datang dan membawa masuk peragut itu. Manakala perempuan itu pula mengajak mak cik yang menjadi mangsa ragut itu agar mengikutnya ke balai polis dengan keretanya. Itulah kali pertama dan terakhir aku melihat perempuan itu dan aku pasti aku tidak akan bertemu lagi dengan perempuan itu lagi. Namun sangkaanku benar-benar meleset...

***      ***      ***

"EH, awak?"

Aku terkejut yang sedang memilih buku lukisan terkejut. Perempuan ini lagi? Macam mana pula kami boleh terjumpa di sini? Macam mana pula dia boleh kenal aku?

"Awak ni kan lelaki kena hempap dengan peragut tu?" Soal perempuan itu dengan wajah yang mesra.

Aku lekas-lekas mengeleng-gelengkan kepala, berasa tidak selesa untuk bersemuka dengan perempuan itu lagi. Entah kenapa, jantungku berdegup sepuluh kali ganda dari kebiasaannya. 'Ini sudah parah. Baik aku pergi cepat.' Bisikku lalu mempercepatkan langkahku ke kaunter pembayaran. Namun, perempuan itu tetap mengekoriku dan yang paling geram, perempuan itu tidak henti-henti bercakap.

"Eh, betullah. Saya ni ada photographic memory tau. Saya boleh ingat sesuatu walau cuma nampak sesuatu sekali. Maaflah sebab tinggalkan awak macam tu saja. Awak ada sakit kat mana-mana tak lepas kena hempap dengan peragut tu? Oh, awak beli buku lukisan. Awak ni mesti pandai melukis, kan? Awak suka lukis apa? Permandangan? Orang? Atau..."

'Awak boleh diam tak?'

Aku terpaksa menulis di atas buku lukisan yang baru aku beli. Ishh, perempuan ini, kenapalah dia mahu menganggu ketenangan hidupku?

"Emm..." Perempuan itu mengerutkan dahinya. "Kenapa? Gigi awak sakit ke?" Soalnya, menyangkakan yang aku tidak boleh bercakap kerana gigiku sakit. Erggh, perempuan ni...!
         
'Saya bisulah!'

Aku bersedia untuk menghadapi perkara yang biasa aku lalui. Apabila orang mengetahui tentang keadaanku, perkara pertama yang mereka akan lakukan ialah terkedu sebelum berusaha memaniskan raut wajah dan mengatakan kata-kata manis yang aku tahu bukan dari hati mereka.

"Lah, kenapa awak tak beritahu awal-awal? Penat tau saya bercakap dari tadi. Opps, maaf. Mesti awak rasa saya ni kepoh, kan?" Ujar perempuan itu dengan nada bersahaja. Seolah-olah apa yang aku katakan ada satu perkara yang normal. Pandangan perempuan itu terhadap diriku tidak berubah langsung.

"Nama saya Eira, selamat berkenalan." Ujar perempuan itu.

Perempuan ni datang dari planet mana? Kenapa dia ni pelik sangat? Kenapa dia tak sama macam orang lain?

***      ***      ***

"SHH!!" Sekali lagi pustakawan datang untuk memberi amaran ke meja bersebelahan denganku agar berhenti berbuat bising. Aku sekadar tersengih melihat wajah Eira yang masam macam tapir.

'Urgh!! Kenapa awak datang kat library ni?'

Aku tersenyum membaca tulisan Eira pada buku lukisannya yang ditunjukkan kepadaku. 'Sebab aku tahu kau tak akan dapat bercakap di sini he...he...'

 'Kalau rasa tak selesa, baliklah rumah.'

Amira memunjungkan mulutnya. Tidak mahu mengalah. Aku sekadar meneruskan kerjaku. Apabila aku melukis, masa seakan berjalan dengan pantas. Sedar tidak sedar, sudah hampir tiga jam aku di dalam perpustakaan. Aku mengeliat bagi meregangkan ototku yang sudah kematu. Aku mengalihkan pandangan ke meja sebelah. Kelihatan Amira sedang khusyuk melukis. Buat pertama kalinya aku melihat wajahnya yang serius. Dia sama sepertiku, dia seperti hilang di dalam dunianya sendiri.

 Aku mencuri lihat apa yang dilukis oleh Eira. Oh, rupa-rupanya Eira sedang melakar pakaian. Cantik rekaan pakaian Eira, ranggi dan sesuai untuk orang muda tetapi tidak menjolok mata dan masih mengikut batasan agama.


'AWAK ada bakat untuk jadi fashion designer.'

Eira yang sedang minum air Coolblog berperisa Blue Coral tersedak. "Awak curi tengok kerja saya ye?" Seperti biasa Eira memuncungkan bibirnya seperti anak kecil. Dia sudah lali dengan perangai manja perempuan itu.

"Tak apa sebab saya pun curi tengok kerja awak juga." Eira mengenyitkan matanya. Aku terkejut. Aku hanya mampu melihat perempuan itu tertawa riang. Entah kenapa, tawanya seperti melodi indah yang mampu menenangkan jiwaku.

Eira tersenyum sambil melihat angkasa yang luas. "Bila saya mereka pakaian, saya rasa teruja. Adakah apa yang akan dihasilkan sama seperti yang saya lukis? Apakah orang yang akan pakai baju yang saya lakar rasa gembira? Saya nak buat orang rasa gembira sebab tulah saya nak jadi fashion designer. Awak pun pasti rasa perkara yang sama kan bila awak melukis komik?"

Aku mengangguk perlahan. Memang aku berasa teruja ketika aku melukis komik. Aku akan berasa gembira untuk mengetahui komen pembaca komikku. Namun, aku tidak pernah menghantar karyaku ke mana-mana. Aku tidak punya keyakinan diri yang aku akan menjadi seorang pelukis komik yang berjaya.

'Ni cuma hobi saja. Saya kena cari kerja yang lebih stabil.'

"Eh, kenapa pula? Awak ada bakat, kenapa awak nak sia-siakan?" Soalan Eira aku biarkan tidak berjawab. Selama ini, tidak ada sesiapa yang mempercayai aku boleh berjaya. Malah, ibu bapaku juga sekadar berharap aku boleh mencari kerja yang mampu menanggung kehidupan seharianku. Bagi mereka kecacatanku membataskan aku dari menjadi seorang yang hebat dan berkaliber.

Disebabkan itu, aku tidak mahu mengharapkan bintang di langit. Aku takut kalau aku terjatuh sebelum sempat aku memetik bintang tersebut. Biarlah aku sekadar menikmati kecantikannya di bumi. Eira, kau pasti tidak tahu yang kau telah menjadi bintang yang menyinari hati sepohon 'rumput' yang kerdil ini, kan?

***      ***      ***

AKU terkedu melihat seorang lelaki yang tidak aku kenali bersama-sama dengan Eira di restoran tempat kami berjanji untuk bertemu.

"Zahid!" Eira menyapaku dengan mesta. "Perkenalkan ni Rashid, dia ni salah seorang pelukis komik juga tau."

Aku mengangguk perlahan. Aku berasa tidak senang untuk berkomunikasi dengan orang yang aku tidak tahu.

"Saya dah dengar banyak cerita tentang Zahid daripada Eira. Zahid ni berbakat orang dan istimewa orangnya. Zahid nak tak masuk pertandingan komik yang akan diadakan tak lama lagi? Ini saya ada borangnya..."

Aku terus keluar. Tidak sanggup untuk berhadapan dengan suasana itu. Aku seakan merasai pandangan sinis Rashid yang mengetahui tentang kecacatanku. Kenapa Eira sanggup berbuat begini denganku? Bukankah aku sudah katakan yang aku tidak menyukai dicanang ke sana sini? Aku cuma mahu menjadi 'rumput' yang biasa dan tidak istimewa. Kenapa orang harus mengatakan yang aku ini 'istimewa'?

"Tunggu dulu!" Eira menghalang jalanku.

'Apa lagi yang awak nak?'

"Awak ada bakat, kenapa awak nak sia-siakan?"

'Jadi? Kalau saya masuk dan menang pertandingan tu pun apa yang saya akan dapat? Boleh ke kecacatan saya ni diubati? Semua orang akan tahu yang saya ni bisu!'

Tiba-tiba kepalaku terasa sakit. Sepasang kasut stiletto merah kelihatan terdampar tidak jauh dari lantai tempat aku berdiri.

"Hei, saya tak pernah tengok manusia yang paling tak bersyukur macam awak ni! Awak bisu, tak boleh bercakap, so what? Awak ingat awak seorang saja yang ditimpa masalah macam ni? Ramai lagilah orang yang hidup lebih teruk daripada awak. Ada orang bisu, buta dan pekak pada masa yang sama. Ada orang hidup tanpa kedua belah kaki dan tangan tapi mereka tak pernah jadikan kekurangan mereka sebagai alasan untuk tak berjaya dalam hidup. Kekurangan bukan halangan tapi cabaran untuk awak tempoh. Sampai bila awak nak jadikan kekurangan itu sebagai alasan untuk awak tak cuba capai impian awak. Awak sebenarnya pengecut, tahu tak?" Ujar Eira dengan air mata yang mencurah-curah. Pelik, aku yang rasa sakit hati, kenapa pula dia yang menangis? Seolah-olah aku pula yang berbuat salah.

Aku terkebil-kebil melihat Eira berlari meninggalkan aku. Pada saat itu, masa seakan bergerak terlalu pantas. Entah mengapa, aku merasakan yang aku telah berbuat satu kesilapan yang paling besar di dunia ini.

***      ***      ***

SUDAH hampir enam bulan sejak peristiwa aku dibaling dengan kasut stilletto itu terjadi. Sejak hari itu aku tidak berjumpa langsung dengan Eira. Rutin harianku kembali seperti biasa. Aku hidup dalam duniaku sendiri. Tanpa sesiapa yang mengangguku atau membebel itu dan ini.        

Aku sangka yang aku akan berasa bahagia namun semakin lama aku menjadi semakin resah. Seperti ada sesuatu yang telah hilang dalam kehidupanku. Duniaku semakin hilang serinya. Aku tidak menyangka pengenalanku dengan Eira mampu memberikan impak yang besar dalam kehidupanku. Setiap hari aku terbayang-bayangkan perempuan itu. Senyuman ikhlasnya, tawa riangnya dan sikap bersemangat Eira amat aku rindui.

"Hei, Apasal ni monyok semacam je..." Soalan yang diberikan oleh rakan serumahku, Ukail membuatkan aku kembali ke dunia yang nyata.  Aku sekadar tersenyum nipis.
  
'Tak ada apa-apalah.'

"Patutnya kalau orang menang tempat pertama dalam pertandingan komik, muka happy. Ni 
muka dah macam tapir ni apasal?" soal Ukail lagi. Selepas peristiwa dibaling kasut stiletto itu, aku mengakui kebenaran kata-kata Eira. Aku ini terlalu takutkan bayang-bayang sendiri. Oleh itu, aku membuat keputusan untuk menghantar komik pada pertandingan komik seperti yang Eira cadangkan. Aku lakarkan kisah kami berdua kerana aku rasakan itu sahaja caranya untuk menyatakan rasa menyesalku di atas apa yang berlaku. Aku tidak menyangka yang aku mendapat tempat pertama. Komikku kini telah diterbitkan di dalam majalah komik Malaysia yang terkenal dan aku mendapat tawaran untuk menjadikan komik 'one-shot' ku sebagai komik bersiri.

"Wah, wah, banyak betul peminat kau ye. Sampai twitter kau dah terlebih kouta."

'Wei, sedap-sedap je kau baca twitter aku.'

Ukail tidak mempedulikan aku sambil membaca tulisan dari page twitterku.

"Eva_Sayaa: Sedihnya, kenapa akhiri kisah Isyarat 143 dengan hero tak berjumpa lagi dengan heroin? Harap-haraplah Encik Za-ed dapat sambung kisah ni."

"Rama-ramaUNGU: Patutnya si hero kena berusaha cari heroin. Kalau dia cintakan heroin, kenapa tak nak berusaha?"

"Ni pula dari Miss Sttiletto."

Miss Stilleto? Aku menolak tubuh kawanku. Komen dari Miss Stilleto kubaca dengan teliti.

            'Apa kata kalau hero tu cuba pergi kat tempat dia pertama kali jumpa dengan heroin? Mana tahu dia akan jumpa dengan heroin tu lagi.'

***      ***      ***
AKU berlari ke stesen bas dalam keadaan tercungap-cungap. Aku berasa kecewa kerana tidak menjumpai Eira. Mungkin Miss Stilleto bukan Eira. Aku duduk di bangku stesen bas yang kosong bagi menghilangkan penat. Eira sudah tidah mahu berjumpa denganku lagi?

"Tahniah sebab awak menang pertandingan komik tu."

Aku segera berpaling ke tepi. Kelihatan Eira berdiri di tepi stesen bas itu sambil tersenyum pendek.

'Awak...'

"Ya, saya." Eira membalas dengan bahasa isyarat.

Aku terkedu.
            
"Saya belajar bahasa isyarat sejak kita tak berjumpa lagi." ujar Eira sebelum sempat aku bertanya dengan lebih lanjut.


'Terima kasih. Tu semua sebab awak. Kalau awak tak baling kasut kat kepala saya agaknya sampai bila saya masih lagi hidup dalam kotak. Minta maaf sebab kekasaran saya tempoh hari.'

"Asalkan awak tahu," balas Eira.

'Jadi, boleh tak kita mulakan sekali lagi?'

Eira mengangguk perlahan.

'Selamat berkenalan, nama saya Zahid Farhan...tapi awak boleh panggil saya...Zahid atau Z."

"Selamat berkenalan, nama saya Amira Nazira, family dengan teman rapat saya panggil saya, Naz. Tapi orang biasa panggil saya Eira."

'Eh, ni bukan double standard ke? Cuma teman rapat je yang panggil awak Naz?'

"Jadi awak nak panggil saya apa?" soal Eira. Aku tergamam seketika. Kalau aku merasakan yang dia teman rapatku, aku sepatutnya memanggilnya Naz. Tapi Eira, kau bukan teman rapatku. Kau bintang hatiku.

'Miss Stiletto, jomlah saya belanja minum coolblog.'

Kata-kataku membuatkan Eira memunjungkan bibirnya. Mungkin kecewa mendengar jawapanku. Maaf tetapi aku belum sedia untuk menyatakan sesuatu yang lebih. Biarlah aku mengenali hati budinya dengan lebih mendalam lagi.

Eira mengeluh perlahan. Intonasi suaranya berubah menjadi riang semula. "Tapi kan saya rasa menarik betul tajuk komik awak tu, Isyarat 143. Apa maksud 143 tu agaknya?" Eira mengenyitkan matanya, nakal.

Aku berjalan laju. Tidak mahu Nazira melihat wajahku yang kemerahan menahan malu. Kenapa pula aku yang berasa malu seperti anak gadis?

Eira sekadar tersenyum nakal. "Hei, tunggulah."

143. Satu ayat, tiga patah perkataan, lapan huruf yang tidak mampu aku lafazkan dari bibirku. Yang aku hanya mampu ungkapkan menggunakan isyarat tanganku. Suatu hari nanti pasti akan aku lafazkan kepada dirimu, Cik Stilletto merahku.


-Tamat-



Nota Feena:
Salam, semua! 
Huh, akhirnya dapat juga siapkan cerpen ni. Sebenarnya Feena tak berapa sangat nak menulis cerpen sebab susah cerpen merangkumkan kesemua permulaan, konfliks, penyelesaian dan penutup dalam satu cerita. Kalau novel kita boleh panjangkan beberapa bab untuk permulaan, beberapa bab untuk konfliks dan dll. Kisah ni amat istimewa bagi Feena sebab ia menyentuh bagaimana kekurangan tu bukan satu penghalang tapi cabaran yang amat bermakna dalam kehidupan. Feena memang suka buat tema cinta yang melengkapi sebab bagi Feena itulah maknanya cinta. Kerana kita berasa lengkap sebab itu kita mendambakan cinta. 

Huhu...terkejut tak dengan identiti Eira di bahagian penutup. Bagi yang baca FYI, DTS! pasti ingat kan watak Amira Nazira, adik kepada Amirul Syakir. Feena sengaja jadikan dia watak utama. Feena ada plan nak buat kesemua kisah cinta anak-anak Dato' Farid Badrul. Kita tengoklah macam mana nanti.

Okeylah, sekian. Wasalam. 

2 comments:

  1. Haii salam kenal dari Indonesia \^o^/..
    blognya comel dan cerpennya bagus. kamu suka anime kah

    ReplyDelete
  2. Wasalam. Minat sgt2. Anime trbaru yg saya tonton ialah your lie in april. Clannad pun mint juga 😀😀😀

    ReplyDelete