Tuesday 18 March 2014

FYI, Dia Tunang Saya! 11

Bab 11

Rimbunan lavender yang terbentang luas ibarat permaidani indah dilihat dengan penuh rasa takjub. Kalaulah dapat diukur darjah kegembiraannya, pasti akan melepasi garisan maksimum! Akhirnya tercapai juga niatnya untuk menjejakkan kaki ke padang lavender yang terletak di Nice, Perancis.
            Tubuhnya berpusing perlahan dengan matanya yang tertutup rapat. Haruman lavender yang menenangkan menusuk ke hidungnya. Haruman tersebut seakan menghilangkan segala masalah yang melandanya selama ini.
SNAP!
            Dengan tidak semena-mena, dia menangkap bunyi kamera mengambil gambar berdekatan dengannya. Lantas matanya terbuka luas. Wajah seorang lelaki yang berkot labuh berwarna hitam memakai mafela biru ditatap dengan raut wajah masam mencuka. Bukannya lelaki itu tidak mengetahui bahawa dia tidak suka gambarnya diambil.
            “Abang Fikri..!” Ujar Ain Fazira, geram melihat senyuman nakal lelaki itu.
            “Sorry, tapi Faz nampak cantik sangat. Macam pari-pari bunga…” Balas Amir Fikri sambil mengenyit matanya. Ain Fazira mengeluh perlahan, terpaksa mengalah dengan perangai nakal lelaki itu. Mereka kemudian berbalas senyuman seolah-olah dunia hanya dimiliki mereka berdua sahaja.

“Cik Fazira?”
            Ain Fazira tersedar dari lamunannya. Fikirannya terbejat seketika. Dia melihat wajah-wajah orang bawahannya yang memakai kot putih sepertinya memandangnya dengan wajah yang penuh penantian.
            Baru wanita itu teringat bahawa dia dan orang-orang bawahannya sedang bermesyuarat tentang produk minyak wangi yang akan dihasilkan sempena Hari Ibu yang akan menjelang tiga bulan dari sekarang. Penghasilan minyak wangi tersebut diharap dapat menaikkan kembali jenama KZ Perfumes yang kini kurang diminati oleh pengguna.
            “Cik Fazira, apa pendapat cik tentang sampel-sampel yang kami hasilkan ni?” Soalan yang diutarakan oleh Jenny, pembantunya yang berbangsa Cina membuatkan dia menatap kembali beberapa keping ‘perfume test strips’ yang dipegang sedari tadi.
Perfume test strips
            Wanita itu cuba untuk kembali fokus. Dia tidak menyangka salah satu sampel yang dihasilkan oleh pembantunya yang menggunakan lavender dan ‘mountain air’ sebagai base note boleh mengingatkannya kembali kepada kenangannya bersama Amir Fikri. “Kesemua sampel ni terlalu stereotaip,” balasnya, yang mengundang kejutan kepada orang-orang bawahannya.

Bahagian haruman yang menghasilkan minyak wangi
            Ain Fazira sekadar tersenyum pendek melihat reaksi mereka. Dia cuba meredakan perasaan mereka dengan berkata, “Saya bukan nak kata yang sampel-sampel ni tak bagus. Sampel 1, contohnya, mengabungkan bunga jasmine dan ros dengan sedikit kayu manis. Sesuai untuk seseorang yang feminim tapi berkeyakinan tinggi. Saya pun suka bagaimana haruman sampel tiga yang diperbuat daripada citrus dan moss membuat pemakai rasa segar dan bertenaga. Tapi, apa yang saya nak adalah sesuatu yang unik tapi boleh diterima oleh pengguna.”
            “Apa maksud cik?”
            “Macam yang kamu semua tahu, minyak wangi dipakai dengan tujuan tertentu. Sama ada untuk menarik perhatian atau sebagai pelengkap aksesori. Untuk produk kita kali ni, saya nak tekankan fungsi minyak wangi sebagai definisi diri. Saya mahu menghasilkan minyak wangi yang memberi definisi secara langsung seorang ibu yang sebenarnya.”
            Kening Jenny dan orang bawahan Ain Fazira terangkat mendengar mendengar penjelasannya yang panjang-lebar. Malah ada yang berkerut-kerut tanda kurang memahami.
            “Minyak wangi yang mendefinisikan seorang ibu?” Jenny mengulang kembali kata-katanya ketua jabatannya.
            “Yes,” balas Ain Fazira sambil mengangguk sekali. “Sasaran kita adalah ibu. Ibu itu satu imej wanita yang umum. Wanita yang berkeluarga dan pada masa yang sama berkerjaya. Minyak wangi yang saya ingin hasilkan mengabungkan rasa anggun yang sederhana, keyakinan yang tidak melampaui batas dan kelembutan di sebalik ketegasan yang dipamerkan. Yang membolehkan si ibu tampil berkeyakinan dan anggun pada masa sama selesa untuk berhadapan dengan khalayak ramai dan keluarga, khususnya suami mereka.”
            Sekali lagi Ain Fazira tersenyum apabila mendengar keluhan orang bawahannya. Namun apakan daya, dia tidak mempunyai masa untuk merungut. Produk ini merupakan produk sulung yang akan dia hasilkan dan merupakan satu pembuktian yang dia layak untuk menduduki kerusi ketua jabatan penyelidikan dan pembangunan KZ Perfumes!

“Faz!”
            Ain Fazira yang berada di kaki lima untuk menuju ke bilik pantri terkaku seketika. ‘Aduh, abang Syakir lagi. Ni mesti nak tanya pasal kak Shirin lagi. Aku ni dah lah tak ada mood nak layan dia.’
            Wanita itu berpura-pura tidak mendengar panggilan Amirul Syakir. Dia berpaling ke arah bertentangan tetapi ternampak Amir Fikri pula yang keluar dari bilik mesyuarat tidak jauh dari tempat dia berdiri. Dia panik lalu menuju ke arah pejabatnya semula namun tidak perasan terdapat pekerja sedang menukar lampu di sudut tepi kaki lima itu.
            Lalu, tubuh Ain Fazira terlanggar tangga lipat yang dinaiki oleh orang tersebut menyebabkan sehingga pekerja tersebut hilang keseimbangan dan hampir terjatuh. Walaupun pekerja itu sempat berpegang erat pada tangga yang dinaikinya tetapi lampu yang ingin ditukar terlepas dari tangan pekerjatersebut.
            “Hati-hati!” Amirul Syakir menolak Ain Fazira. Kedengaran bunyi kaca pecah.
           
***

“Auw, sakitlah! Cuba letak perlahan-lahan sikit.” Rungut Amirul Syakir lalu menarik tanggannya yang terluka akibat terkena kaca lampu yang jatuh daripada Ain Fazira. Dia meniup-niup tempat luka tersebut yang berdarah.
            “Awak ni nak baik ke tak? Kalau saya tak sapu iodin nanti luka awak kena jangkitan tau tak?” Balas Ain Fazira pula yang duduk di gazebo di taman yang terletak di atas bumbung bangunan KZ Group itu. Lelaki itu mula menunjukkan muka sepuluh sen.
            “Yelah, yelah, saya sapu perlahan-lahan.” Ain Fazira mengalah kerana tidak mahu luka lelaki itu melarat. Amirul Syakir kembali duduk berdekatan dengan adik angkat merangkap kekasih lakonannya itu. Wanita itu menyapu kesan luka di lengannya dengan kapas yang dibasahi iodin, kali ini dengan lembut.
            “Awak ni kan, selalu je buat sesuatu secara melulu sampai tak fikir keselamatan sendiri.” Ujar Ain Fazira yang kedengaran seperti bebelan.
            “Awak ni nak ubat saya ke nak membebel? Dah kira baik saya selamatkan awak tahu tak!” Balas Amirul Syakir dengan kasar kerana sakit hati mendengar rungutan yang terbit dari bibir wanita itu.
            “Okey, terima kasih sebab selamatkan saya.” Ujar Ain Fazira dengan nada selamba.
            Amirul Syakir terkedu. Tidak menyangka yang Ain Fazira akan mengucapkan terima kasih kepadanya. Mata wanita itu yang tenang tidak berkalih daripada kesan lukanya yang sedang disapukan dengan ubat.
            Amirul Syakir tidak dapat menahan diri daripada merenung wajah wanita yang sepatutnya dibenci itu. Wanita itulah yang menerima jantung kakaknya, arwah Ana Syakila, satu-satunya keluarga yang ambil berat tentangnya.
            Sedari kecil, dia selalu merasakan yang ibu bapanya bersikap berat sebelah antara adik-beradiknya. Entah mengapa, Dato’ Farid Badrul sentiasa mengutamakan arwah Ana Syakila dan Datin Melisa pula sentiasa mementingkan kebajikan Amir Fikri. Amira Nazira dan Amirul Syafiq merupakan anak bongsu jadi perhatian yang lebih turut diberikan terhadap mereka. Kedudukannya sebagai anak tengah menyebabkan dia terasa seperti halimunan, seperti kambing hitam.
            Namun, arwah Ana Syakila seakan mengetahui rasa galau di hatinya. Arwah kakaknya itu sentiasa cuba untuk menceriakan hatinya dan mendengar luahan perasaan tanpa jemu. Dan arwah kakaknya itulah yang menginggati semua peristiwa penting dalam hidupnya di mana ahli keluarganya yang lain sibuk dengan urusan masing-masing.
            Oleh itu, sukar untuk dia menerima kenyataan bahawa kakaknya yang riang dan sempurna telah meninggal. Apatah lagi apabila dia dapat tahu Ain Fazira menerima jantung arwah kakaknya. Dia merasakan seolah wanita itu telah meragut kesempurnaan arwah kakaknya. Dia mahu arwah kakaknya disemadikan dengan tubuh yang sempurna tetapi apakan daya arwah kakaknya telah mewasiatkan jantungnya kepada wanita itu!
            Namun, dia tidak tahu kenapa dia tidak boleh membenci wanita itu. Apatah lagi selepas peristiwa tiga tahun yang lalu. Dia mengingati kembali Dato’ Farid Badrul menghubungi Ain Fazira yang sedang belajar di Perancis pada ketika itu menggunakan Skype untuk memberitahu tentang kejadian yang malang itu. Wanita itu kelihatan tenang malah sempat lagi memujuk Dato’ Farid Badrul agak tidak terlalu mengikut perasaan sehingga menjejaskan kesihatannya.
            “Hai, dah terbang jauh ke France ke?” Sindir Ain Fazira.
            “Hah? Mana ada!” Balas Amirul Syakir, tersedar dari fikirannya. Ain Fazira sekadar tersenyum kecil sebelum memasuki kembali peralatan dan ubat-ubatan di dalam kotak kecemasan. Gelagat wanita itu yang bersahaja membuatkan dia terfikir. Bagaimana agaknya wanita itu boleh berlagak seperti biasa di hadapan Amir Fikri, Shirin malah dirinya selepas apa yang berlaku? Sedangkan dia sendiri masih tidak melupakan peristiwa itu sehingga menyebabkan hubungannya dengan Amir Fikri semakin renggang.
            Bila diingat kembali, Ain Fazira baru berusia dua puluh dua tahun ketika dan dia sangat pasti yang Amir Fikri merupakan kekasih pertama wanita itu. Bagaimana seorang gadis yang berusia dua puluh dua tahun bangkit semula selepas putus cinta buat kali pertama?
            “Awak,”         
            “Ya?” Wanita itu menjawab panggilan Amirul Syakir tanpa menyedari riak wajah lelaki yang berubah menjadi lebih serius.
            “Apa yang awak rasa bila awak dapat tahu yang Fikri dengan Shirin kena tangkap basah sampai mereka terpaksa kahwin.”
            Mata Ain Fazira membesar apabila mendengar soalan yang tidak sangka keluar dari mulut Amirul Syakir.

***

“Kenapa awak nak tahu?” Soal Ain Fazira. Wajah wanita itu tertumpu kepada abang angkatnya dengan kening yang terangkat.
            “Sebab...! Sebab...” Berhempas pulas Amirul Syakir memikirkan alasan untuk dikatakan kepada wanita itu. Tidak mungkinlah dia mahu cakap yang dia bersimpati dengan nasib wanita itu.
            Ain Fazira kemudian tersenyum pendek, berasa lucu melihat gelagat Amirul Syakir yang tidak pandai berbohong. Sebab itu orang begitu mudah untuk membaca fikiran lelaki itu.
            “Waktu tu, saya rasa kosong. Macam apa yang dah berlaku itu satu mimpi ngeri yang akan berakhir jika saya bangkit dari tidur.” Jawabnya dengan tenang tanpa riak wajah terluka.
            “Kalau awak nak tahu waktu saya dapat tahu daripada papa, saya sedang berkemas-kemas nak balik ke Malaysia. Awak tahu kan, yang saya dan abang Fikri akan berkahwin sebaik sahaja saya tamat belajar. Saya ingatkan yang saya nak buat kejutan untuk abang Fikri tapi tak sangka saya pula yang ‘terkejut’.”
            “Jadi sekarang awak dah tak cintakan Fikri lagi?” Soal Amirul Syakir dengan berhati-hati. Dia ingin tahu apakah kedudukan Amir Fikri dalam hati wanita itu sekarang.
            “Entahlah, apa yang saya pasti, abang Fikri dan saya sekarang tak lebih daripada adik-beradik angkat. Lagipun abang Fikri sekarang dah berkahwin. Jadi, dia haram untuk saya cintai. Awak pun kena ingat juga yang kak Shirin tu dah kahwin. Kakak ipar awak pula tu. Daripada awak buang masa fikir benda yang lepas lebih awak fikir macam mana nak pulihkan kedudukan syarikat papa. ” Ujar Ain Fazira dengan panjang-lebar. Sempat juga wanita itu membebel perkara di luar ‘topik’ perbualan.
            “Awak tahu tak awak ni dah banyak cakap sekarang. Siap pandai membebel macam mak nenek pula.” Balas Amirul Syakir yang terkejut dengan perubahan sikap wanita itu yang berlainan berbanding tujuh tahun yang lalu.
            “Maybe you don’t know me well enough. Yelah, waktu saya duduk dengan keluarga awak, awak mana pernah duduk rumah. Kata nak berdikarilah, tak akan jejak kaki ke rumah selagi saya duduk kat situlah, sampai muka saya pun awak dah tak ingat.” Ain Fazira mengingatkan kembali peristiwa kemalangan yang mempertemukan mereka selepas lebih tujuh tahun lalu.
            Wajah Amirul Syakir merah padam apabila mendengar kata-kata Ain Fazira. “Hei, berani awak ungkit pasal malam tu! Awak pun sama je, awak pun tak ingat muka saya, kan!” Teriaknya sambil mencebikkan bibirnya seperti anak kecil yang merajuk.
            Ain Fazira tertawa buat kali pertama di hadapan Amirul Syakir membuatkan rasa amarah di hati lelaki itu menghilang serta-merta. Dia turut tertawa bersama-sama.
            “Nak air tak? Saya belanja awak sebab tolong rawat luka saya.” Tawaran Amirul Syakir mengejutkan Ain Fazira.
            “...Okey.” Jawab wanita itu, pendek tetapi tanpa sebarang prasangka lagi terhadap lelaki itu.

“Kalau orang lain nampak, mesti dia orang yang korang ni loving couple.”
            Hampir terlepas kotak kecemasan yang di letak di riba Ain Fazira apabila dia mendengar suara Amir Fikri. Kelihatan lelaki yang kacak berbaju kot hitam itu bersandar di tepi dinding berdekatan dengan gazebo tempat wanita itu duduk.
            Ain Fazira sekadar membisu, memandang Amir Fikri dengan pandangan dingin sebelum berlalu untuk meninggalkan taman tersebut. Dengan tidak semena-mena, pergelangan tangan kanannya dipegang oleh lelaki itu dengan kasar.
            “So kau dah tak cintakan aku lagi? Kau nak jadi kekasih betul si Syakir tu, hah?” Bisik lelaki itu ke telinga Ain Fazira.
            “Apa yang abang merepek ni?” Ain Fazira menarik tangannya daripada genggaman lelaki itu. Dia melangkah laju kerana tidak mahu berhadapan dengan Amir Fikri lagi.
            “Apa yang Syakir akan rasa bila dia dapat tahu perkara sebenar tentang peristiwa tiga tahun yang lalu?” Kata-kata Amir Fikri berjaya membuatkan Ain Fazira tidak jadi pergi.        
            Ain Fazira dan Amir Fikri bertentangan mata, penuh dengan kebencian.


***
p.s. dari Afeena: Salam, hehe. Tinggal lagi satu bab sebelum majlis hari jadi Dato' Farid Badrul berlangsung. Sedikit sebanyak peristiwa yang berlaku tiga tahun yang lalu terungkai, kan? Bab kali ni Feena masukkan serba-sedikit tentang perfume (penat ooi cari maklumat guna pak cik Google!) Feena suka awal dan akhir bab ni sebab pada permulaan cerita ada flash back sewaktu Faz dengan Fikri bercinta dan di akhir bab, mereka kelihatan membenci satu sama lain. Syakir pula dah mula buka hatinya kepada Faz. Tapi, apa sebenarnya peristiwa yang berlaku tiga tahun lalu yang Fikri cakap tu? Nak tahu? Tunggu....^_^

6 comments:

  1. Ok, apa yg jadi 3 tahun lepas? Tak sabar nak tahu ni..

    Sis, ni novel or mini novel eh?

    ReplyDelete
  2. kalau nak tahu kenalah tunggu bab seterusnya. FYIDTS ni novel dik.^^

    ReplyDelete
  3. Alamakk.. sambung lagi please.. apa yg terjadi 3 bulan lepas ekk..Tak sabar nak tunggu sambungan dia..

    ReplyDelete
  4. 3 tahun...bukan 3 bulan ;P sabar ek

    ReplyDelete
  5. Aaaa,...lmbtnya smbungan.. every day saya menunggu taw..xsbar nk bce ag.. Tlonglahh jgn lmbt2 msukkn entry !

    ReplyDelete
  6. hehe, sori saya sibuk dengan urusan kat u. dlm minggu ni insyallah saya akan update

    ReplyDelete