Sunday 15 December 2013

FYI, Dia Tunang Saya! 8

Bab 8
“Long time no see, Faz.”
            Ain Fazira  tersedar dari rasa terkejutnya dengan kemunculan Amir Fikri yang baru sahaja pulang dari Maldives. Dia baru menyedari betapa dekatnya dia dengan wajah abang angkatnya itu. Dia terfikir untuk berundur beberapa tapak ke belakang namun membatalkan niatnya. Sebaliknya, wanita muda itu mempamerkan wajah yang tenang dan bersahaja. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan lelaki yang suka mengusiknya. .
            “Selamat pulang, abang.” Ujarnya dengan nada yang tidak berperasaan.
            “Ah, bosannya. Kalau perempuan lain, mereka pasti rasa suka bila ada orang ‘handsome’ yang cuba memikat mereka.” Keluh Amir Fikri.
            “Atau mereka rasa macam nak patah-patahkan tulang-belulang orang itu tapi menahan perasaan kerana memikirkan yang orang itu masih ada banyak masalah.” Balas Ain Fazira pula yang mengundang tawa pada mulut Amir Fikri. Mungkin lelaki itu berasa lucu mengenangkan sikapnya yang langsung tidak berubah.
            “Ouch!” Amir Fikri mendekapkan tangan di dadanya seolah-olah menyatakan bahawa kata-kata Ain Fazira telah menikam hatinya. “Perangai berterus-terang kau ni masih belum berubah. Terubat juga rindu aku pada ka...”
            “KAU!!” Amirul Syakir terus menarik kolar baju Amir Fikri. Mungkin sedari tadi dia menahan rasa geram melihat perlakuan abangnya itu yang langsung tidak punya rasa bersalah terhadap Shirin.
            “Lepaskan tangan kau sekarang,” ujar Amir Fikri dengan nada mengugut.
            “Tahu pula kau nak balik ye? Kau tahu tak apa yang kau dah buat?” Bentak Amirul Syakir dengan kasar. “Kau tahu tak yang Shirin hampir keguguran?!!”
            “Yang kau ni lebih-lebih kenapa? Shirin tu isteri aku faham tak?!”
            Ain Fazira hanya mampu melihat sahaja kedua-dua adik-beradik itu bergaduh di hadapannya. Masing-masing langsung tidak mahu mengalah. Hatinya berasa sinis memikirkan yang mereka yang bergaduh demi seorang perempuan.

            ‘Cinta, memang buat orang jadi buta. Sampai tak tahu betul salah,’ bisik hati kecilnya. ‘Tapi aku biarkan diaorang bergaduh, parah jadinya. Tak pasal-pasal, dua-dua kena masuk hospital.’ Dia berasa gerun melihat cara kedua-dua adik-beradik itu bergaduh. Macam nak berbunuhan pula.
            Ain Fazira melihat kawasan persekitarannya, mencari-cari peralatan yang sesuai untuk menamatkan pergaduhan yang membuang masa itu. ‘Hem, penyapu, macam lembut sangat je. Ohh, cangkul, tapi macam tak ‘logik’ pula aku nak ketuk dia orang ni dengan cangkul. Walaupun bagus juga idea tu. Apa benda yang aku boleh pakai ni?’ Dia kemudian terlihat sebaldi air kotor yang digunakan oleh Mak Mah untuk mengelap tingkap.
            Tiba-tiba kedengaran orang muncul di hadapan pintu. Rupa-rupanya Datin Melisa, Shirin, Amira Nazira dan Amirul Syafiq terdengar bunyi bising dari luar dan bergegas keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku.
            “Ya Allah! Syakir? Fikri? Apa yang kamu berdua buat ni hah?!” Suara Datin Melisa yang kedengaran seperti ledakan gunung berapi. Namun Amirul Syakir dan Amir Fikri tidak sedar langsung akan kehadiran ibu mereka.
            Datin Melisa mengetap bibirnya geram. Matanya turut melilau untuk mencari jalan untuk meleraikan pergaduhan anak-anaknya. Matanya menangkap sebaldi air kotor yang Ain Fazira terlihat tadi.
            Pada waktu itu semua orang tidak dapat menjangka tindakan Datin Melisa seterusnya kecuali Ain Fazira. Wanita muda itu sudah bersedia dengan mengundurkan diri jauh daripada dua insan yang sedang sibuk ‘berguling-guling’ di atas tanah. Dia siap buat ‘count down’ lagi dalam hati.
            ‘Satu...dua...tiga!’
            Amirul Syakir dan Amir Fikri habis lencun dibasahi air kotor yang dituang oleh Datin Melisa. Mereka kelihatan terpinga-pinga dan mula menyedari kehadiran ibu mereka yang sedang bercekak pinggang.
            “Kamu berdua...” Datin Melisa menarik nafas dalam-dalam. “Memang nak kena!!!!”

***
“Kenapa muka macam kena halau dari rumah je ni?”
            Amirul Syakir menunjukkan wajahnya yang masam ke arah Ain Fazira yang bersandar di tepi kereta Mercedesnya dengan wajah bersahaja. “Kenapa awak ada kat sini lagi?” Soalnya kepada wanita muda itu. Kalau diikutkan Datin Melisa telah menyuruh Ain Fazira pulang kerana ibunya itu mahu berbincang dengan Amir Fikri tentang masalah yang masih belum selesai.
            Ain Fazira tidak menjawab tetapi hanya melihat beg pakaian yang digendong oleh Amirul Syakir. Dia menganggak yang lelaki itu, secara rela atau atas arahan Datin Melisa, perlu berpindah keluar dari rumah agam itu. Manakala Amir Fikri dan Shirin pula disuruh tinggal di rumah agam keluarga Dato’ Farid Badrul sehinggalah skandal yang melanda keluarga mereka reda.
            “Mummy rasa lebih baik saya tinggal di luar untuk mengelakkan apa-apa ‘kejanggalan’ di rumah.” Ujar Amirul Syakir lalu menekat punat pada kunci keretanya.
            “Kejanggalan...satu perkataan yang sangat baik untuk mengambarkan suasana antara awak, abang Fikri dan kak Shirin.” Ujar Ain Fazira lalu masuk ke dalam kereta Amirul Syakir terlebih dahulu sebelum tuannya.
            “Hei, awak ni kan! Suruhlah Pak San hantar awak balik. Saya tak ada masa nak layan dengan awaklah!”
            “Saya tak suruh awak layan saya. Saya minta tolong awak hantar saya balik. FYI, awak nak pergi Villa Height, kan? Destinasi yang kita nak tuju sama, tak salah kalau awak tumpangkan ‘buah hati’ awak ni.”
            Amirul Syakir mencebik bibirnya. Dia berasa geram dirinya yang sentiasa kalah dengan perempuan itu. Lelaki itu memecut keretanya laju untuk melepaskan geram. Terhadap Amir Fikri yang langsung tidak merasa bersalah. Terhadap Datin Melisa yang menyuruhnya berpindah ke kondominium di Villa Height. Dan yang terakhir, terhadap Shirin yang langsung tidak mahu melawan.
            Amirul Syakir berpaling ke arah Ain Fazira yang seperti biasa tidak menunjukkan apa-apa perasaan. Tapi entah mengapa dia dapat merasakan yang wanita muda itu seperti sedang mengejeknya. Perasaan yang dirasai ketika berada di rumah.
            “Kalau awak ada benda nak cakap, tolong cakap sekarang. Tak payah nak diam saja”
            “Saya tak ada benda nak cakap.”
            “Saya tahulah awak nak cakap sesuatu kan. Memang padan muka saya. Tak pasal-pasal kena halau dari rumah.”
            Ain Fazira mengerutkan keningnya. Dia malas mahu bertegang leher dengan Amirul Syakir yang telinga kuali itu. Langsung tidak mahu mendengar pendapat orang lain.
            “Dan semua salah si Dayana, tak sedar diri dan tak tahu malu macam...” Kata-kata Amirul Syakir terhenti. Dia terasa seperti mengalami dejavu. Lelaki itu teringat bahawa dia pernah bercakap tentang perkara yang sama tetapi bukan ditujukan kepada Dayana, kepada Ain Fazira.
            “Tak sedar diri dan tak tahu malu macam saya,” sambung Ain Fazira dengan nada yang dingin.
            Wajah Amirul Syakir berubah. Dia tidak menyangka yang Ain Fazira masih mengingati kata-katanya kepada wanita muda itu ketika mereka berjumpa buat kali pertama tujuh tahun yang lalu. “Bukan itu maksud saya...”
            “Jadi apa yang awak maksudkan sebenarnya? Oh, maksud awak jenis perempuan yang tak sedar diri anak yatim yang dipungut dari jalanan. Yang menumpang berteduh di rumah orang. Lebih teruk lagi orang...orang yang sanggup mendermakan jantungnya selepas kematiannya.” Ujar Ain Fazira dengan wajah bersahaja.
            Amirul Syakir tergamam mendengar Ain Fazira mengulang kembali kata-katanya yang dahulu diucapkan kepada wanita muda itu. Apa yang lebih mengejutkan adalah wajah Ain Fazira yang langsung tidak menunjukkan sebarang tanda terluka dengan kata-kata itu.
            “Tujuh tahun saya hidup dengan kenyataan itu, sampai saya dah lali. Jadi jangan tunjukkan muka bersalah awak tu kat depan saya lagi.” Ujar Ain Fazira lagi yang menamatkan perbualan antara mereka sampailah mereka tiba di Villa Height.

***

Pintu kondominium miliknya dibuka, suasana gelap menyelubungi ruang tamu. Sophie yang baru sahaja pulang dari tempat kerjanya duduk di sofa, bertemankan kegelapan malam. Dia kelihatan letih selepas semalaman bekerja di restoran eksklusif di Suria KLCC sebagai pemuzik.
            Tiba-tiba dia terdengak suara esakan yang sayup-sayup kedengaran. Dia kemudian melangkah ke bilik Ain Fazira dilihat masih terang bercahaya. Ain Fazira terlupa untuk menutup pintu sepenuhnya. Dia mengintai di balik pintu lalu melihat Ain Fazira yang duduk berteleku di tikar sejadah.
             “Lailahaillah Anta Subhanaka Inni Kuntu Minnazzalimin., lailaha....” Tidak putus Ain Fazira membasahkan lidahnya dengan doa Nabi Yunus a.s. ketika baginda ditelan oleh ikan paus. Doa yang baik diamalkan ketika mengalami kesusahan itu bermaksud, “Bahawa tiada Tuhan selain Allah, Maha Suci Allah, sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang zalim.”
            Mata Ain Fazira kelihatan merah dan berair namun wanita muda itu tidak membenarkan langsung air matanya untuk jatuh ke pipi. Sahabat baiknya itu tidak akan mengalirkan air mata kepada sesiapa kecuali Dia yang Maha Mengetahui Segala-galanya.
             Sophie bersandar di tepi dinding, tidak mahu menganggu pengaduan sahabat baiknya itu kepada Tuhan yang Maha Esa. Walaupun dia tidak mengetahui pokok pangkal cerita tetapi dia tahu yang tangisan sahabat baiknya itu ada kena-mengena dengan keluarga Dato’ Farid Badrul.  
            Sepanjang persahabatan mereka yang sudah menjengah tujuh tahun, Sophie mengetahui serba-sedikit tentang kisah hidup Ain Fazira. Sahabat baiknya itu merupakan penghidap penyakit jantung berlubang dan tinggal bersama ibunya yang menjaganya sendirian. Sewaktu Ain Fazira berusia dua belas tahun, ibunya meninggal dunia dan dia dihantar ke rumah anak yatim. Di situlah, sahabat baiknya itu bertemu dengan arwah Ana Syakila, salah seorang sukarelawan di rumah anak yatim Rantaian Kaseh. Arwah Ana Syakila adalah orang yang telah berjaya mengembalikan senyuman wanita muda itu sebelum arwah meninggal disebabkan barah otak dan mewasiatkan jantungnya kepada Ain Fazira.
            Selepas pembedahan jantung tersebut, Ain Fazira dijadikan anak angkat oleh Dato’ Farid Badrul yang membiayai pembelajaran sehinggalah dia berjaya sekarang. Sophie teringat bagaimana Ain Fazira sentiasa bercakap tentang arwah Ana Syakila dan Dato’ Farid Badrul seperti merekalah yang memberinya semangat untuk terus hidup. Mereka berdua adalah segala-galanya kepada sahabat baiknya itu selepas arwah ibunya. Ain Fazira malah berjanji akan sentiasa di sisi ayah angkatnya selagi dia diperlukan.
            Sophie tahu yang Ain Fazira bukan lemah, wanita muda itu memiliki hati yang sekeras batu kerikil di sungai. Sepanjang hidupnya, Ain Fazira telah melalui pelbagai dugaan. Namun dia tidak bersetuju dengan sikap sahabatnya itu mengorbankan segala-galanya demi keluarga Dato’ Farid Badrul.
            ‘Sejauh mana kau akan bertindak demi membalas jasa mereka, Faz?’ Bisik hati Sophie lalu melangkah masuk ke biliknya.


***
p.s dari Afeena: Salam semua!! Maaf sebab dah lama tak upload bab baru. Tak lama lagi Feena akan menghadapi exam final sem 1 tahun 2. Penat membuat assigment dan project tak terkata.http://matcuoi.com Kali ni, Feena upload bab 8 untuk FYI, DTS! Hehe, sekarang dah tahu kan siapa sebenarnya Ana Syakila tu. Hubungan antara Ain Fazira dan Amirul Syakir semakin rumit kan?http://matcuoi.com Selepas ni, hubungan mereka akan menjadi makin-makin rumit.(hehe...) Oklah, Feena berhenti di sini sahaja. Insyallah kita jumpa lagi.http://matcuoi.com

2 comments: