Wednesday 23 September 2015

FYI, Dia Tunang Saya! Special 3


Latar masa: Selepas Ain Fazira bersetuju untuk bertunang dengan Amirul Syakir

"HEI, perempuan! Apa sebenarnya yang kau rancang hah?!!" Syakir melampiaskan kemarahannya kepada Fazira yang bersandar di tepi kereta Honda Civic miliknya. Geram hatinya memandang wanita yang sentiasa berwajah macam tiada perasaan itu. Fazira mengunci mulutnya dan hanya memandang jauh ke tepi jalan tempat kereta itu dihentikan.
            Panas hati Syakir melihat perbuatan wanita itu yang langsung tidak mempedulikan amarahnya. Hatinya bertambah geram apabila mengenangkan abangnya yang langsung tidak menunjukkan rasa bersalah melibatkannya di dalam skandal tersebut dan ibunya yang melayannya seperti orang yang bersalah.
            
            "Kan, aku dah cakap dengan kau. Perempuan tu memang hipokrit. Dia memang pandai ambil kesempatan. Tapi kau kan memang suka ambil 'bekas' aku."

            'Tak guna kau Fikri! Kalau bukan sebab mummy dan Rin, dah lama dah aku buat perhitungan dengan kau!' bentak Syakir di dalam hati. Dia kemudian berpaling kembali ke arah wanita 'hiporkrit' itu. "Hei, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?!"
            Fazira mengerutkan keningnya. Dia malas mahu bertegang leher dengan Syakir yang telinga kuali itu. Oleh sebab itulah, dia mendiamkan diri sedari tadi. Lelaki itu pun satu, kalau mahu bergaduh pun tidak perlulah sampai berhenti di tepi jalan. "Ya, saya dengar. Sesiapa pun dapat dengar jelas bila awak menjerit macam singa kelaparan."

            "Kau ingat aku bergurau ke? Kau ingat aku tak tahu yang kau sengaja nak ambil kesempatan. Kau bertunang dengan aku sebab nak harta papa, kan?" tuduh lelaki itu dengan lancangnya.
            Namun Fazira hanya sekadar mencebikkan bibirnya. "Suka-suka hati awak saja nak tuduh saya yang bukan-bukan. Sebelum awak nak tuduh saya yang bukan-bukan baik awak sedar sikit yang awaklah punca saya bertindak macam tu."
            'Eh, eh, perempuan ni nak salahkan aku pula?' Syakir mengenggam tangannya bagi menahan geram. "Apasal pula?!"
            "Memang salah awak sebab masuk campur dalam urusan rumah tangga Abang Rie dan Kak Nur. Sepatutnya awak beritahu papa dan datin supaya mereka jadi boleh orang tengah dan selesaikan masalah Abang Rie dan Kak Nur. Tengoklah sekarang, awak dah jadikan Kak Nur sebagai bahan fitnah orang," bebel Fazira seperti seorang peguam yang berkaliber. Merah padam muka Syakir kerana tidak mampu untuk melawan kata-kata wanita itu
            "Hei, kau peduli apa? Suka hati akulah nak buat apa!" bentaknya, cuba untuk menegakkan benang yang basah.
            "Yelah tu," ujar Fazira dengan nada yang sinis. "Tapi bila kak Nur kena serbu dengan wartawan, awak panik dan tak tahu nak buat apa, kan?"
            Sekali lagi Syakir terpana dan tidak mampu untuk membela dirinya. "Kau, kau, dengar sini baik-baik, aku tak mungkin dan tak akan bertunang dengan kau. Muktamad!!"
            Fazira sekadar tersenyum sinis. "Awak ingat saya kisah ke? Yang akan terkena bahana keputusan awak tu bukan saya tapi Kak Nur. Kalau awak tak bertunang dengan saya, maknanya awak mengiyakan awak ada hubungan sulit denga kakak ipar awak sendiri. Pada waktu itu awak rasa siapa yang akan paling teruk dikutuk, hem?"
            "Kenapa diam? Beritahulah saya apa yang awak nak buat sekarang, Encik Syakir?" soal Fazira lagi dengan nada mengejek apabila melihat abang angkatnya membisu.
            Syakir mencebik bibirnya. Dia berasa geram dirinya yang sentiasa kalah dengan perempuan itu. "Kau, kau memang jahat, Fazira! Kau jangan ingat yang kau dah menang. Aku akan pastikan yang kau hidup menderita kalau kau berkahwin dengan aku."
            "Wah, hebat betul awak ni, sampai terfikirkan waktu kita kahwin. Saya sarankan supaya awak fikirkan perkara akan berlaku dalam jangka masa yang terdekat ni. Tentang pertunangan kita yang akan berlangsung dalam jangka masa sebulan nanti." Ujar Fazira dengan wajah bersahaja.
            Syakir menghentak kakinya sebelum bergegas memasuki kereta miliknya. Dia berniat untuk meniru perbuatan Fazira yang meninggalkan di tepi jalan tempoh hari. 'Siaplah kau, dahlah jalan highway ni sunyi-sepi. Eh?!' Terkial-kial lelaki itu mencari kunci keretanya yang hilang dari lubang kunci keretanya.
            Kemudian dia berpaling ke arah Fazira yang berdiri di hadapan kereta sambil tersenyum sinis. Kelihatan kunci kereta di jari telunjuk kanannya wanita itu. Syakir melepaskan jeritan kecil sambil tersandar dengan wajah yang kalah. Memang nasibnya untuk sentiasa kalah dengan wanita itu.




FAZIRA bersandar di kerusi buaian rotan di balkoni luar kondominiumnya. Angin malam yang sejuk membuai-buai selendang yang menutupi kepalanya. Hatinya berasa tenang selepas melaksanakan solat tahajud dan merafakkan doa kepada Yang Maha Esa.
Dia mengingati kembali peristiwa siang tadi. Dia sendiri tidak tahu dari mana dia dapat kekuatan untuk beritahu di hadapan semua wartawan yang dia dan Syakir bertunang. Setelah mendapat tahu tentang penyakit ayah angkatnya, dia sedar hanya pertunangannya dengan Syakir yang dapat melembutkan hati lelaki itu untuk menjalani pembedahan. Lagipun dengan pertunangan mereka juga dapat meredakan skandal yang melanda keluarganya.
            'Sekarang ni aku dah jadi musuh nombor satu Abang Rie dan Abang Kier. Terutamanya Abang Kier, makin menjadi-jadi rasa benci dia dekat aku.' bisik hati kecilnya sambil bibirnya mengukir senyuman kelat. Dia teringat akan tuduhan Syakir yang mengatakan dia mata duitan.      
Baginya, dituduh sebagai mata duitan tidaklah seteruk mana. Dia sudah lali dengan tohmahan orang terhadap dirinya. Semua itu telah diharungi sejak dia kecil lagi. Bukan sekali dua orang memandang rendah akan statusnya sebagai anak angkat dan anak yatim. Pada waktu mula-mula dia tinggal dengan keluarga Dato' Farid,  ramai sanak-saudara keluarga angkatnya yang mempersoalkan asal-usulnya. Nasib baiklah Dato' Farid dan Datin Melisa melarang sesiapa pun untuk mengutarakan soalan itu lagi. Akhirnya tidak ada sesiapapun yang berani bertanya lagi.
            Atas dasar itulah, dia berjanji akan lakukan apa sahaja demi keluarga angkatnya. Hatta, dengan mengorbankan jiwa dan raganya. Dia sanggup melakukannya kalau itu dapat membantu memelihara kehormatan dan keharmonian keluarganya. 'Lagipun...' Dia duduk sambil memeluk lututnya. Fikirannya menerawang kembali ke perbualannya dengan Datin Melisa siang tadi.

            "Faz buat semua ni demi papa, kan?" tebak Datin Melisa. Fazira menggangguk kepalanya perlahan. "Kamu yakin dengan keputusan kamu ni?"
"Kalau saya tak yakin, saya tak akan buat pengumuman di hadapan wartawan-wartawan. Saya dah fikir semasak-masaknya," balas Fazira dengan wajah yang tenang.
Datin Melisa lega mendengar jawapan anak angkatnya. Sekurang-kurangnya bolehlah dia bergantung harap kepada wanita itu. Kenapalah Fikri dan Syakir tidak setabah dan sematang Fazira? Pening kepalanya memikirkan persengketaan kedua-dua anak lelakinya itu.
            "Faz percaya tak dengan skandal ni?" soal Datin Melisa. Kata hatinya menidakkan kenyataan yang anak lelaki sulungnya itu mempunyai hubungan sulit dengan Dayana yang merupakan duta produk minyak wangi mereka. Apatah lagi dengan kisah tentang anak keduanya dengan Shirin. Dia yakin sebenci-benci Syakir terhadap Fikri, anaknya itu tidak akan sekali-kali merosakkan rumah tangga abangnya.
            "Saya percaya yang Abang Rie bukan jenis lelaki yang mempermainkan maruah seorang wanita," balas Fazira. "Tapi saya rasa mungkin Abang Rie salah faham tentang Abang Kier dengan Kak Nur sebab tu dia memberontak dan balas dendam dengan cara begini."
            "Mungkin juga..." Wanita itu mendiamkan diri buat seketika. "Kelakuan Abang Rie berpunca dari saya," ujarnya dengan nada yang bersalah.
            "Kenapa pula? Sebab Faz bantu memastikan perkahwinan Rie dan Nur berlangsung?" tebak Datin Melisa. Fazira menundukkan wajahnya, tidak sanggup berhadapan dengan ibu angkatnya itu.
            "Faz tak salah. Perkahwinan Rie dengan Nur bukan hanya untuk menjaga maruah keluarga, tapi demi anak yang dikandung Nur pada waktu itu. Jangan sesekali Faz salahkan diri Faz tentang peristiwa tiga tahun lalu!" ujar Datin Melisa, memihak kepada anak angkatnya.
Walaupun dia kelihatan seperti bersikap dingin terhadap Fazira tetapi dia sangat mengambil berat tentang anak angkatnya itu. Dia tahu yang wanita itu telah banyak berkorban demi keluarga mereka. Cuma orang lain sahaja tidak tahu.
            "Terima kasih, datin," jawab Fazira.
            "Saya yang sepatutnya ucapkan terima kasih," ujar Datin Melisa. "Sebab itulah, saya dah buat perancangan...."
            "Perancangan? Perancangan apa?" soal Fazira.
            "Sebenarnya saya tak mahu pisang berbuah dua kali. Saya tak nak anak-anak saya kahwin dalam keadaan terpaksa lagi. Faz akan bertunang Kier, tapi Faz tak semestinya kahwin dengan dia," jawab Datin Melisa.
            "Maksud datin?" soal Fazira lagi, kurang mengerti dengan maksud di sebalik kata-kata ibu angkatnya.
            "Selepas pertunangan kamu, saya akan cuba pujuk dato' untuk jalani pembedahan itu. Kalau dato' setuju untuk jalani pembedahan itu dan selepas skandal ni reda, Faz bebas untuk buat keputusan sama ada nak teruskan pertunangan ni atau tidak. Apa pun keputusan Faz, saya akan sokong sepenuhnya."

            Jaminan yang diberikan oleh ibu angkatnya itu membuatkan Fazira berasa lega. Sejujurnya, walaupun dia tidak percaya dengan perkahwinan atas dasar cinta tetapi dia juga tidak sanggup untuk berkahwin dengan lelaki yang membencinya. Dia tidak mahu menghabiskan hidupnya dalam perkahwinan yang tidak bahagia.
Jadi perkara penting yang harus dia lakukan sekarang ialah pastikan yang ayah angkatnya menjalani pembedahan secepat mungkin dan menyiasat kebenaran di sebalik skandal Fikri dan Dayana.
'Ya Allah, ya Tuhanku, Kau berkuasa mentadbir seluruh alam. Kau lindungilah keluarga angkatku daripada segala bencana dan fitnah dunia. Kau hilangkanlah salah faham di antara Abang Fikri dengan Abang Syakir dan Kau jernihkanlah hubungan mereka. Kau kurniakanlah kesihatan kepada ahli keluargaku terutamanya ibu bapa angkatku dan kakak iparku. Kau kurniakanlah kekuatan kepada Kak Nur agar dapat melahirkan anaknya dalam keadaan sihat dan sempurna. Hanya Engkaulah tempat hambamu ini memohon pertolongan. Amin, Amin, Ya Rabbal Alamin.” Tutur Fazira dengan penuh pengharapan. Hanya Tuhanlah tempat dia mengadu segala kesukaran dan hanya kepadanya dia memohon diberikan kekuatan untuk mengharungi segala dugaan.


Nota Feena:
Salam, semua!
Seperti yang dijanjikan, Feena postkan bab terakhir untuk FYI, DTS! Yang selebihnya, kenalah tunggu novel keluar, Insyallah! Feena pun masih tertunggu-tunggu jawapan daripada pihak penerbit. Harap-haraplah manuskrip Feena diterima, amin!

Lepas ni Feena akan mulakan misi menyambung semula cerita Jilid Cinta. Haha, dah lama betul ditinggalkan semata-mata untuk FYI, DTS!
Okey, semua! Semoga jumpa lagi di masa akan datang!
Luv you all!

2 comments:

  1. nie cerita dah emng gk lgi diunggah ye....pgen tw cerita selanjuty...best sangat....unggah donkk

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sorry Yuli tapi Feena tak dapat nak post banyak2 sbb takut ada org ciplak cerita ni. Apa kata baca WANTED: My Runaway Bride pula hehe...

      Delete